Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parlimen jelaskan sajian mewah 'daging RM2,000'
Diterbitkan:  Jul 18, 2018 4:50 PM
Dikemaskini: 3:31 PM

Dakwaan sajian mewah ketika majlis perasmian Dewan Rakyat hanyalah salah faham, malah nilai hidangan berasaskan daging itu juga tidak mencecah harga RM2,000 sekilogram seperti yang tular di media sosial.

Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen, Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed menjelaskan hal itu dalam kenyataan kepada mStar Online.

Hidangan tersebut sebenarnya tidak ditempah pengurusan Parlimen, maklum Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen, Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed dalam kenyataan kepada mStar Online.

Menurut beliau, hidangan itu merupakan menu tambahan yang disediakan pihak penyaji makanan bagi meraikan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

"Untuk makluman, Parlimen tidak pernah berbelanja mewah bagi tujuan tersebut. Perbelanjaan adalah mengikut tatacara kewangan yang telah ditetapkan.

"Sebagai maklumat tambahan, kadar kelayakan bagi majlis tersebut adalah RM120 untuk seorang tetamu.

"Namun Parlimen hanya meluluskan kadar RM50 untuk seorang bagi tujuan tersebut yang mana jumlah keseluruhan RM400 untuk kos hidangan meja utama seramai lapan tetamu," katanya, petik mStar Online.

Bukan sajian untuk semua jemputan

Tengku Nasaruddin dipetik berkata menu tersebut juga hanya disediakan di meja makan utama untuk lapan tetamu dan bukan disajikan kepada semua jemputan.

"Adalah menjadi keutamaan dan amalan pentadbiran Parlimen untuk memastikan bahawa tatacara perolehan sentiasa dipatuhi sepenuhnya tanpa kompromi dalam semua perolehan yang dilaksanakan," katanya yang kesal dengan penyebaran isu sajian mewah itu kerana maklumat yang disampaikan tidak tepat.

"Sehubungan itu, Parlimen berharap isu ini tidak berpanjangan demi menjaga imej dan identiti Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara," katanya lagi.

Pada malam Selasa, tersebar sekeping gambar menu sajian mewah berasaskan daging lembu Wagyu yang didakwa sebagai hidangan semasa jamuan tengah hari di Parlimen menjadi tular di Twitter.

Sajian berkenaan mendapat perhatian kerana harganya yang dikatakan mencecah antara RM1,500 hingga RM2,000 sekilogram bagi gred B.

Lihat Komen
ADS