17 individu ditahan bantu siasatan kes bunuh remaja
Tujuh belas individu termasuk enam wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah dusun durian di Bandar Baru Kangkar Pulai, 5 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Noor Hashim Mohamad berkata kesemua mereka yang berumur 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan sekitar bandar raya ini antara 7 dan 16 Julai lepas.
"Menerusi siasatan awal polis, kes dipercayai berlaku di sebuah pangsapuri di Bukit Indah di sini, sebelum mayat mangsa dibawa ke kebun durian tersebut," katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.
Noor Hashim berkata motif kejadian dipercayai akibat salah faham antara mangsa dan kesemua suspek ekoran kekurangan hasil penjualan dadah.
"Ketua mereka mengarahkan kesemua suspek dan mangsa minum minuman yang dicampur dadah menyebabkan mangsa pengsan sebelum timbul rasa tidak puas dalam kalangan suspek lalu mangsa dipukul dan dijerut sehingga mati.
“Mayat mangsa kemudian dibawa dengan menaiki sebuah kereta Toyota Camry ke kebun terbabit sebelum ditanam separuh badan,” katanya.
Noor Hashim berkata polis merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pelbagai jenis barang kemas, dadah serta Toyota Camry yang dipercayai digunakan membawa mayat mangsa.
Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, dan 12 daripada mereka juga mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk berkaitan dadah.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula semalam sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.
- Bernama

