Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KATA MP | Jawapan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali kepada soalan anggota parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong dan saya sendiri, berkenaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) adalah mengecewakan.

Projek HSR ini adalah satu tender terbuka antarabangsa yang dipanggil secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.

Tender hanya ditutup pada 28 Disember 2018 dan pembida yang berjaya dinilai dan diputuskan bersama oleh kedua-dua kerajaan.

Tender juga mensyaratkan pembida untuk menawarkan pakej pembiayaan dan kewangan. Projek HSR adalah sangat kompetitif dan lazimnya pembida akan disokong kerajaan negara masing-masing.

Untuk itu, pakej pembiayaan juga sangat kompetitif di mana faedah pada kadar sifar atau 0.1 peratus bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Tidak lama dulu, sebuah syarikat Jepun memenangi projek HSR di India dengan pakej pembiayaan dengan faedah 0.1 peratus bagi tempoh 50 tahun dengan 15 tahun moratorium (penangguhan pembayaran).

Projek HSR Malaysia-Singapura yang berprofil tinggi ini menarik perhatian pembida dari seluruh dunia.

Maka, adalah mengecewakan apabila menerima jawapan dari kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terhadap dakwaan mereka bahawa kos HSR adalah RM110 bilion.

Angka itu lebih tinggi berbanding anggaran RM55 bilion dan RM70 bilion yang sudah diunjurkan kerajaan BN dan kerajaan Singapura sebelum ini.

Apabila ditanya, Azmin hanya mampu menjawab bahawa kos RM110 bilion adalah anggaran mereka dan ia termasuk kos tersembunyi yang tidak dihuraikan.

Padahal tender yang akan diputuskan oleh kedua-dua negara belum ditutup, kos belum dimuktamadkan dan pakej pembiayaan masih tidak diketahui.

Adakah anda berkata, Kerajaan Singapura menyembunyikan ‘kos terselindung’ ini?

Kos mereka lebih tinggi

Soalan saya - mengapa kerajaan HARAPAN tidak mendedahkan penilaian impak ekonomi projek HSR yang menunjukkan manfaat ekonomi serta peluang pekerjaan? Ini bakal hilang jika projek ini dibatalkan,

Menteri hal ehwal ekonomi tidak mengendahkan perkara ini dan memilih untuk membuat lawak berbanding menjawab soalan.

Tindakan itu bukan satu permulaan baik untuk parlimen. Projek sebesar ini memerlukan jawapan yang sempurna kerana ia memberi kesan kepada jutaan rakyat, beratus ribu pekerjaan, hubungan antarabangsa dan aliran ekonomi negara pada masa depan.

Jawapan kerajaan menunjukkan kelaziman mereka untuk menggandakan kos projek yang dimulakan BN seperti HSR, Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL) dan LRT3 dan kemudiannya mendakwa BN menyembunyikan kos sebenar.

Mereka kemudian mendabik dada dengan mendakwa berjaya mengurangkan kos projek kepada separuh, walhal kos baru mereka lebih tinggi daripada sebelumnya.

Berkenaan isu sama, ada wakil Kementerian Kewangan hari ini mendakwa saya mengetahui kos LRT3 adalah setinggi RM32 bilion.

saya meminta mereka menunjukkan dokumen bagi membuktikan saya telah meluluskan permohonan tambahan jaminan RM22 bilion kepada Prasarana.

Tunjukkan buktinya. Walhal permohonan itu tidak pernah dipersetujui kerajaan BN.

Nampaknya kerajaan HARAPAN masih kuat berpolitik, bukannya menjamin kesinambungan ekonomi bagi masa depan negara.


DATUK SERI NAJIB RAZAK ialah Anggota Parlimen Pekan dan bekas perdana menteri Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS