Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Walau sukar, Wan Saiful janji kerja keras tangguh PTPTN

Walaupun janji untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam bergaji kurang RM4,000 sukar dilakukan, namun Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan optimis untuk melakukannya.

Menurut Wan Saiful itu, ketika ini antara kekangan yang dihadapi pihaknya untuk melaksanakan salah satu janji manifesto berkenaan ialah ketiadaan koordinasi dalam agensi kerajaan.

Bagaimanapun, sekiranya beliau gagal untuk melaksanakan janji tersebut, Wan Saiful berkata dirinya akan mengambil risiko dengan memberitahu kepada masyarakat bahawa beliau tidak boleh melakukannya.

"Dua hari lepas kita umumkan supaya peminjam kemas kini data. Sebab PTPTN tiada maklumat siapa peminjam yang mempunyai gaji di bawah RM4,000.

"Selain itu, kita juga perlukan kerjasama daripada KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), Jabatan Akauntan Negara, Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

"LHDN, KWSP terletak di bawah Kementerian Kewangan. Lembaga Tabung Angkatan Tentera pula di bawah Kementerian Pertahanan.

Data tak boleh dikongsi

"Bila kita perlukan bantuan daripada mereka, timbul pula isu Akta Pelindungan Data Peribadi. Ini menunjukkan masa pentadbiran dulu, mereka tak fikir mengenai one government contohnya saya dah bagi data pada agensi ini, tetapi tidak boleh dikongsi pada agensi berkaitan. Itu masalah sekarang yang melambatkan kita untuk melaksanakan janji kita.

"Sekiranya mereka benarkan untuk berkongsi data peribadi pun, pesuruhjaya pelindungan data peribadi pula berada di bawah Kementerian Komunikasi," jelas Wan Saiful dalam sebuah seminar di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai masalah yang dihadapi PTPTN kini dalam melaksanakan janji kerajaan HARAPAN.

Meskipun berdepan dengan situasi sukar, timbalan pengarah biro strategik dan dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata beliau kini berusaha keras bagi memastikan manifesto berkaitan PTPTN akan tetap dilaksanakan.

Di Parlimen hari ini juga, anggota parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata, kemungkinan besar janji HARAPAN berhubung PTPTN tidak dapat dilaksanakan.

Khairy turut mendakwa, dengan kegagalan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (gambar) menjawab pertanyaannya, ia menunjukkan HARAPAN membuat janji tanpa berfikir habis-habisan.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai pengerusi PTPTN, Wan Saiful berkata pelantikannya itu merupakan lantikan dalam sebuah badan berkanun dan bukannya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ujarnya, dalam manifesto HARAPAN sendiri tidak menulis bahawa mana-mana ahli politik tidak boleh dilantik dalam badan berkanun.

"PTPTN merupakan badan berkanun dan bukan GLC. Orang yang menggunakan manifesto HARAPAN untuk bercakap mengenai perkara ini sebenarnya mereka tidak faham.

"Sebab kita jelas tidak menulis tentang badan berkanun. Kebiasaannya badan berkanun ini adalah institusi sosial politik yang digunakan untuk membantu rakyat," katanya lagi.

Lantikan politik pada badan berkanun

Mengulas isu lantikan politik dalam GLC, Wan Saiful berkata meskipun ia terkandung dalam manifesto namun beliau berpendapat tiada masalah sekiranya lantikan politik dibuat dalam tempoh awal dua tahun ini.

Jelasnya, ia bagi membolehkan 'pembetulan' dapat dibuat bagi memastikan manifesto HARAPAN mencapai sasarannya.

"Banyak janji yang kita buat adalah dalam tempoh lima tahun contohnya GLC dalam kalangan bukan ahli politik. Untuk mencapai ahli pengarah GLC bukan daripada ahli politik, kita kena ada beberapa pembetulan dalam GLC sedia ada.

"Dan untuk melakukan itu kita kena lantik orang politik dulu, tempoh dia dalam masa dua tahun. Jadi selepas dua tahun tempoh dia, janji kita akan dapat dicapai untuk tempoh lagi dua tahun," kata Wan Saiful lagi.

Lihat Komen
ADS