Nga bidas menteri HARAPAN ponteng sesi parlimen
Timbalan speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming membidas menteri dan timbalan menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) yang ponteng sidang parlimen pada sesi petang semalam.
"Ia tidak seharusnya terjadi," katanya kepada Malaysiakini.
Nga merujuk ketidakhadiran beramai-ramai anggota kabinet HARAPAN yang difahamkan disebabkan oleh mesyuarat mingguan kabinet yang diadakan petang semalam.
Namun, ia tidak menjelaskan ketidakhadiran timbalan menteri yang tidak perlu menghadiri mesyuarat kabinet.
Anggota parlimen BN semalam mempersoalkan perkara itu apabila mendapati kebanyakan kerusi di dalam Dewan Rakyat semalam kosong.
Anggota Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan dan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menyorot perkara itu di media sosial.
Nga, yang dihubungi hari ini berkata beliau difahamkan kabinet telah memutuskan untuk menukar mesyuarat mingguan ke hari Jumaat apabila parlimen bersidang, bermula minggu depan.
"Jadi, saya fikir kejadian semalam tidak akan terjadi lagi. Saya juga mahu berterima kasih kepada anggota parlimen pembangkang kerana memberi peringatan.
"Anggota kabinet seharusnya menghantar wakil mereka menghadiri mesyuarat kabinet. Terutamanya apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbahas supaya mereka boleh mengulas dalam sesi penggulungan nanti," katanya.
Nga yang juga merupakan anggota parlimen Teluk Intan berkata beliau melihat empat timbalan menteri menghadiri sidang parlimen petang semalam.
Bagaimanapun, tambahnya, semua menteri dan timbalan menteri bertanggungjawab ke atas pengundi di kawasan parlimen masing-masing.
"Sebagai timbalan speaker, saya mahu mengingatkan agar anggota parlimen menghormati Dewan Rakyat," katanya.

