PRK Sg Kandis: Wan Azizah cadang calon 'tak begitu dikenali'
Dengan berbaki dua hari saja lagi sebelum penamaan calon, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dikatakan akan meletakkan calon yang tidak begitu dikenali bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.
Jika benar, ia bertindih dengan cadangan yang dikemukakan PKR Selangor.
Seorang sumber, yang merupakan pemimpin PKR yang rapat dengan pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan kepada Malaysiakini berhubung laporan yang mendakwa calon bernama Zawawi Mughni akan bertanding dalam PRK itu.
Mohamed Azmin sebelum ini dilapor mencadangkan nama pengelola PKR Kota Damansara Mohd Razlan Jalaluddin.
Dua pemimpin kanan PKR yang tidak dinamakan memberitahu The Malay Mail bahawa Zawawi akan diletakkan untuk bertanding sebagai wakil PKR dan bukannya Mohd Razlan.
Salah seorang pemimpin berkenaan berkata Dr Wan Azizah sendiri mencadangkan nama Zawawi, seorang guru agama, dalam mesyuarat biro politik parti itu awal minggu ini.
"Pada mulanya Selangor mencadangkan nama Razlan, tapi nama Zawawi kemudian dicadangkan oleh presiden," pemimpin PKR itu dipetik sebagai berkata.
Pemimpin PKR yang satu lagi berkata langkah itu menimbulkan kebimbangan kerana Zawawi tidak begitu dikenali berbanding Razlan.
"Tak pasti kenapa presiden mahukan calon ini dan bukannya calon cadangan PKR Selangor," katanya dipetik sebagai berkata.
Malaysiakini difahamkan Razlan sebelum ini merupakan calon asal untuk diletakkan di kerusi itu.
Umno dijangka mengumumkan calon mereka hari ini.
Hari mengundi bagi PRK Sungai Kandis ditetapkan pada 4 Ogos.
Kerusi berkenaan kosong selepas penyandangnya Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia.

