'Umno 16' gugurkan permohonan hina mahkamah pada Ku Nan
Enam belas anggota Umno bahagian, yang memfailkan semakan kehakiman terhadap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh, menarik balik prosiding komital terhadap setiausaha agung sebelum ini Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Permohonan penarikan balik itu dibuat hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Nordin Hassan.
Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mewakili “Umno 16” berkata, beliau diarahkan anak guamnya untuk bertindak demikian susulan pembentukan kerajaan baru dan memandangkan Tengku Adnan bukan lagi setiausaha agung parti.
Bagaimanapun, katanya, rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang mengetepikan cabaran mereka terhadap kesahan Umno sebagai sebuah parti susulan isu pemilihan, masih diteruskan di Mahkamah Rayuan.
“Rayuan ini ditetapkan pada 30 Julai di Mahkamah Rayuan untuk pengurusan kes,” katanya.
Hari ini pada mulanya ditetapkan sebagai hari pendengaran untuk merujuk Tengku Adnan kepada prosiding menghina mahkamah.
Selepas pemilihan Umno bulan lepas, Tengku Adnan kini berkhidmat sebagai bendahari agung Umno.

