Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura kemungkinan akan ditangguh setelah melihat situasi ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tidak dinafikan Malaysia tiada dana untuk membayar pampasan yang besar kepada negara jiran jika projek itu dibatalkan.

Namun, katanya, penangguhan boleh dibuat.

“Kita tidak boleh katakan tidak mengenai pampasan berkaitan HSR, tetapi pada masa ini kita tidak ada dana.

“Jadi kita perlu tangguhkan perlaksanaannya dahulu,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Dr Mahathir ditanya berkaitan kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon bahawa pihaknya masih menunggu jawapan balas rasmi daripada Malaysia berhubung projek HSR.

Khaw berkata, kenyataan awam Mahathir melalui pelbagai temubual berhubung penamatan projek berkenaan, “tidak disusuli dengan sebarang komunikasi rasmi dengan kami.”

Sementara itu, Mahathir berkata, rundingan semula dengan Singapura akan dijalankan dalam masa terdekat diwakili Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

“Iya, Singapura mahu tahu apakah status dan pendirian kita dalam isu berkenaan. Pada masa ini bila kita lihat situasi kewangan negara, kita dapati kita tidak boleh laksanakan.

“Kita perlu kaji implikasinya, kaji dahulu kontrak dan kos projek itu. Kita terpaksa tangguhkan sementara atau mengurangkan kos projek berkenaan. Tetapi sedikit sukar mengurangkan harga,” katanya.

Sebelum ini, Mahathir mengumumkan kerajaan telah membatalkan projek HSR walaupun berisiko menanggung denda hampir RM 500 juta dengan menyatakan projek itu terlalu mahal dan tidak akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

 

Lihat Komen
ADS