Mesyuarat kabinet diubah ke Jumaat
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengesahkan mesyuarat kabinet akan diubah ke hari Jumaat bagi menghormati persidangan Dewan Rakyat.
Pada hari Dewan Rakyat tidak bersidang, mesyuarat mingguan itu akan dibuat pada hari Rabu.
Keputusan itu dibuat selepas barisan kerusi kerajaan dalam Dewan Rakyat didapati kosong kerana menghadiri mesyuarat kabinet, semalam.
“Bermula minggu depan dan seterusnya dari hari Rabu, ubah ke Jumaat.
“Saya tak nak yang lain melalaikan tugas, tapi keutamaan harus diberikan kepada parlimen,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.
Nga berkata, beliau memahami tanggungjawab menteri yang mempunyai bebanan kerja namun keutamaan harus diberikan kepada sesi Dewan Rakyat.
Justeru katanya, sekiranya seseorang menteri itu tidak dapat menghadiri atas sebab tidak dapat dielakkan, beliau sepatutnya menghantar timbalan menteri dalam persidangan tersebut.
“Jika menteri tak dapat hadir maka wajar hantar timbalan menteri untuk hadir memandangkan parlimen institusi cukup penting dan setiap dasar dan jawapan rasmi harus, wajib dijawab di parlimen,” katanya.
Pagi tadi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya akan mempertimbangkan cadangan untuk mengubah mesyuarat Kabinet kepada hari Jumaat.
"Ya kita sedang mempertimbangkan untuk tukar mesyuarat kabinet dari hari Rabu kepada Jumaat sepanjang sidang Dewan Rakyat.
"Kita mungkin akan bermesyuarat pada Jumaat minggu depan," katanya.
Semalam beberapa ahli Parlimen pembangkang memaklumkan kerusi menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) kosong ketika perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyarankan kerajaan mengubah mesyuarat Kabinet kepada hari Jumaat bukannya Rabu kerana mengganggu perjalanan Parlimen.

