Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Sdr Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu forum di Sunway University baru-baru ini berkenaan hasratnya (kerajaan) untuk memansuhkan Biro Tatanegara (BTN) hanya bersandarkan hujah bahawa fungsinya disalahgunakan oleh Umno.

Bagi saya hujah itu kurang rasional, lebih-lebih lagi bagi seorang tokoh politik muda yang dihormati seperti beliau.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan dahulu, kerajaan baharu tidak wajar menghakimi agensi ini semata-mata kerana fungsinya disalahgunakan oleh elit politik terdahulu, hingga menjadi sebahagian daripada aparatus Umno ‘mencuci otak’ anak-anak belia.

Kerana jika itu hujahnya, maka Jabatan Peguam Negara wajar juga dimansuhkan. Felda dan Tabung Haji juga perlu dimansuhkan. Barulah adil.

Kedua, berkenaan hujah kerana ia telah termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan, maka ia wajib dimansuhkan. Kedua-dua hujah ini telah saya hadap dengan pandangan seadanya.

Dari kedudukan sebagai menteri belia dan sukan, saya berfikir mengapa tidak biro ini dikembalikan kepada Kementerian Belia dan Sukan daripada dibiarkan bawah Jabatan Perdana Menteri?

Bukankah asal kewujudan BTN pada tahun 70-an itu ditubuhkan bawah kementerian yang sedang Sdr Syed Saddiq sandang ini?

Pada peringkat awalnya agensi dirangka untuk dijadikan makmal penyelidikan bagi pembangunan belia negara. Mengapa bukan ini dijadikan langkah mereformasikan agensi tersebut oleh 'bro menteri'?

Berbalik kepada hujah pemansuhan ini sudah termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan. Saya rasakan manifesto ini tidak dapat lari dari kelemahannya.

Semalam, Wan Saiful Wan Jan, timbalan pengarah biro strategik dan dasar BERSATU, yang satu parti dengan Syed Saddiq, telah dilaporkan Malaysiakini mengupas isu data yang tidak mencukupi ketika merangka manifesto HARAPAN.

Ini menjelaskan lagi bahwa manifesto yang dirangka sebelum ini terdapat kelemahan. Kita harus akuinya. Kerana itu, beberapa perkara dalam manifesto tersebut agak sukar dilaksanakan. Maka satu kajian perlu dibuat demi memastikan ia boleh dilaksanakan dengan tempoh masa yang baharu.

Saya mengaitkan dua perkara ini untuk menjelaskan bahawa manifesto bukanlah kitab suci, sepertimana pandangan Tun Mahathir Mahathir, pengerusi BERSATU.

Saya tidak melihat Biro Tatanegara sebagai medium politik kerajaan, apatah lagi sebagai medium politik kepartian sebagaimana Umno menggunakannya.

Sebaliknya saya melihat BTN sebagai institusi awam yang perlu direformasikan atas kepentingan pembangunan sosial rakyat.

Peranan institusi ini harus dikembalikan untuk menggilap identiti rakyat khususnya golongan muda dan kelas pekerja termasuk kumpulan profesional, sebagai sebuah identiti negara bangsa.

Dari aspek sasaran peserta BTN ini, golongan muda dan kelas pekerja ini adalah kumpulan penyumbang yang penting terhadap ekonomi dan kestabilan sosial negara kita.

Satu kerangka baru diperlukan bagi mereformasikan modul dan agenda BTN agar ia benar-benar boleh menyumbang ke arah perpaduan nasional dengan cara yang lebih efektif.

Kerajaan HARAPAN juga harus mengkaji dan menstrukturkan kembali kos-kos peruntukan bagi agensi ini. Ini adalah keperluan reformasi iaitu perbelanjaan berdasarkan keperluan utama dan kecekapan dan ketelusan mengurus perbelanjaan menerusi dasar penjimatan.

Kembalikan Fungsi BTN

Mereformasikan BTN dengan model yang baharu ini adalah berasaskan matlamat bangsa yang bernegara. Model ini harus bersifat inklusif melangkaui bangsa, agama dan budaya serta kelas sosial.

Kelemahan BTN sebelum ini kerana digunakan sebagai alat politik kepartian oleh Umno/BN harus diperbetulkan. Inilah masanya kerajaan HARAPAN menunjukkan bagaimana reformasi boleh dilaksanakan untuk kebaikan rakyat.

BTN boleh menjadi institusi untuk merealisasikan identiti sebuah negara bangsa. Jika Amerika memiliki American Dream, apakah kita tidak mempunyai Impian Malaysia?


MAHDZIR IBRAHIM adalah anggota DAP.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS