K'jaan kaji semula kos projek bagi tebus pendapatan lepas hapus GST
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan mengkaji semula kos projek untuk menebus pendapatan negara selepas penghapusan sistem cukai barangan dan perkhidmatan GST.
Kerajaan di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) menjangkakan untuk mengutip RM21 bilion setahun daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berbanding RM44 bilion yang mampu dikutip dari GST yang dilaksanakan pentadbiran BN sebelum ini.
"Kita tidak nafikan bahawa asas pendapatan negara berkurang (dengan menghapuskan GST) jadi kita perlu mencari cara lain untuk menebus kekurangan itu.
"Kita mengambil langkah mengkaji semula beberapa projek bagi memastikan perbelanjaan berkesan kerajaan bagi mengelakkan kos yang tidak sepatutnya.
"Anda mungkin akan terkejut dengan jumlah wang yang kita belanjakan untuk beberapa projek ini," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.
Terdahulu, Lim mengakui bahawa GST merupakan sistem cukai yang lebih telus dan efisyen dari segi mengutip cukai daripada rakyat.
Bagaimanapun, katanya, kesan SST akan lebih kurang dirasakan oleh rakyat.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan mengkaji semula, menangguhkan atau membatalkan projek mega seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, MRT3, LRT3 dan Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL).

