Hukuman penjara lelaki disabit kesalahan berkaitan pengganas dikurangkan
Tempoh hukuman penjara seorang penganggur berusia 23 tahun dikurangkan oleh Mahkamah Rayuan kepada lima tahun kerana menyokong kumpulan pengganas IS serta memiliki imej berkaitan keganasan dalam telefon bimbitnya.
Panel tiga hakim iaitu Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang membenarkan rayuan balas Wan Mohamad Nur Firdaus Abd Wahab untuk mengurangkan hukuman penjaranya.
Hakim Mohtarudin yang mempengerusikan panel itu mengurangkan hukuman penjara lapan tahun kepada lima tahun untuk pertuduhan pertama iaitu menyokong IS dan bagi pertuduhan kedua memiliki imej berkaitan keganasan, hukuman penjara lima tahun dikurangkan kepada dua tahun.
Hakim juga memerintahkan Wan Mohamad Nur Firdaus menjalani kedua-dua hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh tangkap.
Sementara itu di mahkamah sama, panel hakim menolak rayuan pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara apabila memutuskan rayuan pendakwaan tidak mempunyai merit.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon hukuman penjara antara 10 dan 12 tahun dikenakan ke atas Wan Mohamad Nur Firdaus bagi pertuduhan pertama kerana dia telah bersumpah setia kepada kumpulan pengganas terbabit.
Wan Shaharuddin tidak memohon hukuman penjara bagi pertuduhan kedua ditambah kerana menurut beliau hukuman lima tahun itu yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah bersesuaian.
Peguam Wan Mohamad Nur Firdaus, Mohd Faizi Che Abu menghujahkan hukuman penjara harus dikurangkan kerana anak guamnya tidak aktif dalam penglibatannya.
Pada 2017, Wan Mohamad Nur Firdaus mengaku bersalah atas pertuduhan menyokong IS secara bai’ah (sumpah setia) menerusi aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan Gagak Hitam dengan menggunakan nama Lat Firdaus serta memiliki 23 imej berkaitan keganasan dalam telefon bimbitnya.
Kesalahan pertama dilakukan di sebuah rumah di Jalan Cili 24/28D, Seksyen 24, Shah Alam pada 7.32 pagi, 30 Mac 2016 manakala kesalahan kedua di tempat sama pada 8.35 pagi, 25 Sept 2016.
- Bernama

