Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid beri tempoh setahun untuk k'jaan turunkan harga barang

Kerajaan diberi masa sehingga setahun selepas 100 hari dari tempoh manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) sama ada harga barang dan kos sara hidup rakyat dapat diturunkan seperti janji mereka sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Cabaran itu diberikan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Umno- Bagan Datuk), yang berkata, tempoh setahun itu bermula pada 1 September iaitu selepas pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Saya mahu lihat penurunan pendapatan ini dan kononnya mahu dipindahkan untuk beri keuntungan dan kos sara hidup kepada rakyat.

“Kita tunggu sahajalah 1 September bila ia (SST) dilaksanakan dan kita beri tempoh 100 hari (tunai manifesto), selepas tu kita beri setahun. 

"Selepas 1 September adakah harga barangan dan kos sara hidup dapat dikurangkan dengan pengenalan semula SST,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi parlimen, hari ini.

Zahid Hamidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan SST yang akan bermula 1 September ini.

Salah satu dari sepuluh janji HARAPAN dalam manifestonya menjanjikan agar GST yang dikatakan menyebabkan harga barangan meningkat akan digantikan dengan SST.

Langkah kerajaan memperkenalkan semula SST akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Ogos ini, selain menghapuskan GST yang diperkenalkan sejak 1 April 2015.

Zahid juga mengkritik pengenalan semula SST dengan menganggap ia hanya dilakukan oleh negara-negara mundur.

"Biarpun GST diletakkan pada kadar zero rated, tak ada harga barangan yang turun harga. Begitu juga harga petrol kata nak diturunkan, akhirnya harga petrol kena ikut harga pasaran.

"Saya fikir kalau tak boleh berjanji, jangan janji kalau tak ditepati. Itulah sifat kemunafikan yang saya sebutkan tadi. Dan hal inilah yg sedang dihadapi oleh rakyat ialah kesusahan," katanya.

'Manifesto ibarat baiah'

Sementara itu, Zahid mengingatkan bahawa manifesto pilihan raya "ibarat baiah" atau perjanjian yang harus ditunaikan oleh kerajaan.

Katanya, sekiranya kerajaan gagal melaksanakan janji manifesto itu, ia boleh dianggap sebagai munafik.

“Kita lihat apabila suatu akujanji itu dilaksanakan maka ia merupakan satu perjanjian baiah antara kerajaan dan rakyat dan apabila kita sebagai kerajaan tidak dapat menterjemahkan pelaksanaannya, ia harus diakui itu hanya janji-janji,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lobi parlimen, hari ini.

Zahid berkata demikian merujuk kepada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Presiden Umno itu turut berkata meskipun GST kini telah diletakkan pada kadar sifar namun harga barangan tetap tidak turun.

“Saya fikir kalau tak boleh berjanji jangan janji kalau tak boleh ditepati. Itulah sifat kemunafikan yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Zahid bagaimanapun turut berkata pembangkang harus memberikan ruang secukupnya kepada kerajaan untuk melaksanakan janji manifesto yang telah dibuat.​​​​​​​

Lihat Komen
ADS