Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ratusan hektar hutan terbakar di Riau
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 3:03 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Ratusan hektar hutan dilaporkan masih terbakar di provinsi Riau, Pulau Sumatera, yang dipercayai akibat cuaca panas, selain pembakaran pihak tertentu bagi tujuan pertanian.

Kebakaran hutan itu dilaporkan mula berlaku sejak awal Jun lepas.

Kebakaran hutan di Pulau Sumatera bukanlah perkara baharu dan hampir setiap tahun berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan pelbagai masalah termasuk jerebu yang turut menjejaskan negara lain seperti Malaysia dan Singapura.

Menurut laporan agensi berita Antara, pihak berkuasa Indonesia kini bertungkus lumus memadamkan kebakaran di provinsi Riau termasuk menggunakan 11 helikopter pengebom air.

Ketua Pelaksana Badan Penanggulangan Bencana Riau, Edwar Sanger berkata operasi memadam kebakaran menggunakan helikopter itu tertumpu di kawasan hutan di Dumai, Rokan Hulu, Pelalawan dan Siak.

Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa sejak awal tahun ini, lebih 600 hektar hutan di Pulau Sumatera telah terbakar.

BMKG turut berharap kebakaran hutan yang masih berlaku di provinsi Riau akan terpadam sepenuhnya apabila hujan lebat diramalkan akhir bulan ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS