Kesemua anggota exco Kerajaan Negeri serta pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak akan mengisytiharkan harta masing-masing dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kesemua exco Kerajaan Negeri Perak serta pegawai kanan GLC telah menerima borang pengisytiharan harta berkenaan.

“Sebelum mengisytiharkan harta, kami (exco) akan melakukan lafaz serta menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di hadapan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Perak esok," katanya kepada pemberita ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Desa Pinji di Ipoh hari ini.

Negeri Sembilan menjadi negeri pertama apabila kesemua anggota exco kerajaan negeri membuat pengisytiharan harta dan aset peribadi.

Pengisytiharan harta oleh exco-exco kerajaan negeri adalah antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan negeri ditadbir oleh satu kerajaan yang berintegriti dan telus.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat berkata sekolah yang mempunyai 250 murid itu menghadapi masalah lalu lintas di laluan utama masuk ke sekolah yang dilihat membahayakan pengguna jalan raya serta pelajar.

Beliau berkata pihaknya mencadangkan agar lampu isyarat diletakkan di laluan masuk sekolah bagi memudahkan ibu bapa menghantar anak masing-masing.

Jalan di hadapan sekolah itu juga akan dilebar dan diturap semula bagi memudahkan ibu bapa parkir kenderaan mereka.

"Saya akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mempercepatkan cadangan itu. Apabila suasana baik pelajar akan berasa selesa dan gembira sekali gus memberi mereka semangat untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan," katanya.

- Bernama