Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini, menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas seorang lelaki berusia 61 tahun kerana melakukan kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun, pada awal Mei lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman ke atas lelaki warga emas itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

Ainul turut memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara daripada tarikh sabitan serta menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai tempoh hukuman penjara.

Dalam tempoh pengawasan polis, tertuduh perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes atau ketua polis daerah Kota Belud, dan jika gagal berbuat demikian, tertuduh boleh ditangkap polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketika membuat rayuan, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai dua tanggungan iaitu seorang ibu yang sudah tua dan sakit; dan seorang adik perempuan orang kurang upaya (OKU); selain tertuduh juga sakit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Farah Farriza Wan Ghazali berkata tertuduh telah melakukan kesalahan serius dan mahkamah harus mengambil kira kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman.

Pengakuan bersalah tidak boleh dijadikan faktor rayuan semata-mata berikutan seriusnya kesalahan yang dilakukan. Tertuduh berusia 61 tahun semasa kejadian, melakukan perlakuan yang memalukan terhadap mangsa yang berumur lapan tahun. Mahkamah sepatutnya mengenakan hukuman yang berat, katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dilapor menyentuh bahagian sulit seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun menggunakan tangan di sebuah rumah tidak bernombor di Kota Belud, kira-kira 12.40 tengah malam, pada 2 Mei lepas.

Akibat daripada perbuatan tertuduh itu, mangsa kemudian menjerit dari dalam bilik tidurnya sebelum didengar oleh bapa mangsa yang juga pengadu dalam kes ini.

- Bernama