Judi Piala Dunia: Polis Sabah tahan 42, rampas lebih RM200,000
Polis Sabah menahan 42 individu dan merampas wang tunai berjumlah RM210,920 yang dipercayai wang pertaruhan perjudian Piala Dunia FIFA 2018 sepanjang kejohanan itu berlangsung.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata kesemua suspek berusia 20 hingga 60 tahun terbabit yang kebanyakannya dipercayai ejen atau bookie sindiket pertaruhan, ditahan dalam 32 serbuan berasingan di seluruh negeri.
“Ada juga petaruh kepada sindiket judi berkenaan (yang ditahan),” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejbata Polis Daerah Kudat, di sini hari ini.
Katanya berdasarkan siasatan, masih ada saki-baki sindiket perjudian berkenaan yang masih bebas dan pihaknya akan terus menggempur mereka.
Beliau berkata kesemua yang ditahan disiasat disiasat
Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, polis negeri telah melancarkan 308 serbuan terhadap premis perjudian di seluruh Sabah.
"Menerusi serbuan itu kita berjaya menahan 604 individu yang dipercayai terlibat dalam perjudian berkenaan. Kita juga merampas 163 tablet dan komputer yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian tersebut," katanya.
Mengulas mengenai statistik jenayah di Sabah, Ramli berkata sejak Januari hingga Jun lepas sebanyak 2,751 kes direkodkan di seluruh negeri, iaitu penurunan 6.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang mencatatkan 2,937 kes.
"Sehingga Jun lepas kita telah berjaya menyelasaikan sebanyak 1,751 kes iaitu 63.6 peratus daripada jumlah kes berkenaan dan kebanyakan kes melibatkan kes curi,"
- Bernama

