Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Sg Kandis penanda aras p'raya fasa M'sia baru
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 6:05 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos ini akan penjadi penanda aras kepada proses pilihan raya dalam fasa Malaysia baharu, kata pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari.

Justeru, katanya langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik empat badan baharu sebagai pemerhati PRK tersebut iaitu Bersih 2.0, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Kelab Pemikir Politik Nasional (Pemikir) dan Engage, diharap dapat memastikan ketelusan proses demokrasi di negara ini.

"Kalau yang ini (PRK Sungai Kandis) pun rendah standardnya, jadi yang lain pun kita rasa sukar, tetapi kalau PRK ini dapat dijalankan dengan baik, demokrasi dan kuasa rakyat akan bertambah," katanya kepada pemberita pada sesi taklimat pemerhati PRK Sungai Kandis di ibu pejabat SPR, di Puatrajaya hari ini.

Seramai 69 pemerhati dilantik bagi PRK itu dengan Bersih 2.0 menghantar paling ramai wakil iaitu 38 orang, Pemikir (10), Universiti Kebangsaan Malaysia (7), Suhakam (6), Persatuan Orang Kota Bharu (4) dan Engage (4).

Mengakui taklimat yang diberikan SPR sangat baik, Shahrul Aman berkata pelbagai persoalan diajukan dalam program dua hari itu dan banyak yang telah dijawab oleh pihak SPR bagi membantu pemerhati terlibat memahami proses pilihan raya, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan rakyat kepada SPR.

"Mungkin selepas ini kita juga perlu ada sesi perbincangan berlainan dengan SPR contohnya isu kesalahan pilihan raya, undi pos dan lain-lain," kata Shahrul Aman.

Bagi anggota Suhakam, Datuk Lok Yim Heng, jemputan kepada suruhanjaya itu sebagai pemerhati pilihan raya adalah manifestasi keterbukaan SPR untuk bekerjasama dalam menambah baik proses pilihan raya negara ini.

Katanya Suhakam menyambut baik langkah SPR membuat beberapa perubahan untuk PRK Sungai Kandis seperti menambah jumlah saluran mengundi daripada 88 kepada 107 dan melanjutkan tempoh masa pengundian dari 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding setakat 5 petang sebelum ini.

"Ini satu permulaan yang baik dan harapan Suhakam adalah hak seseorang calon dan pengundi mesti diberi perlindungan," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata suruhanjaya tersebut mengambil maklum cadangan dan pandangan yang dikemukan pemerhati terlibat dalam menambah baik proses pilihan raya.

Bagaimanapun Mohamed Elias berkata beberapa cadangan seperti menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara elektronik perlu dikaji terlebih dahulu memandangkan ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tertentu.

Ditanya sama ada pelantikan Bersih 2.0, Suhakam, Pemikir dan Engage sebagai pemerhati pilihan raya akan meningkatkan ketelusan proses pilihan raya, beliau berkata kesemua badan itu boleh melihat secara dekat cara SPR menjalankan PRK berkenaan.

"Biar mereka nilai kami," kata Mohamed Elias secara ringkas.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

SPR menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

- Bernama

Lihat Komen
ADS