Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee: Peranan Guan Eng dikurang, Azmin lebih berkuasa
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 7:20 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Peranan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan telah dikurangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Anggota Parlimen Ayer Hitam itu berkata demikian ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini.

"Persepsi rakyat ialah kuasa menteri kewangan telah dikurangkan, jadi book keeper. Ini persepsi sebab mereka melihat agensi-agensi di bawah MOF telah diasingkan, dimasukkan dalam (bidang kuasa) menteri di bawah Hal Ehwal Ekonomi yang mempunyai kuasa lebih," katanya.

Wee berkata kerajaan mesti menjelaskan pertindihan kuasa antara dua kementerian itu.

"Dulu syarikat yang ditubuhkan di bawah MOF Inc, sekarang nampak ada dua bos, dua menteri.

"Siapa yang sepatutnya mempunyai kuasa dan siapa yang menyampaikan mesej kepada mereka dan kepada siapa mereka patuh arahan," katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Wee juga mempersoalkan keperluan kerajaan menubuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan memandangkan peranan itu boleh dilakukan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Katanya, saiz kabinet kerajaan sekarang juga tidak jauh berbeza dengan kerajaan BN sebelum ini walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk mengurangkannya.

"Saiz kabinet pada suatu ketika (HARAPAN) kata perlu dikecilkan. Sekarang kita masih ada 25 kementerian, dua kementerian ada pertindihan.

"Adakah 26 (menteri) kabinet campur tiga menteri (JPM) iaitu 29 orang tidak besar?" soalnya.

Sebelum ini, seramai 35 menteri dan 27 timbalan menteri memimpin 24 kementerian di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lihat Komen
ADS