Guru berdemo, Maszlee ajak bincang baik-baik
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berpendapat langkah terbaik untuk pihak guru mengadu dan menyelesaikan masalah mereka ialah dengan cara perbincangan.
Kata Maszlee jika perlu mereka boleh bertemu dengan beliau dan akan dilayan dengan baik.
Berjanji untuk cuba memenuhi keinginan guru yang berdepan masalah anggota parlimen Simpang Renggam itu berkata beliau juga akan cuba memahami apa yang sedang dihadapi.
"Kalau orang datang tempat saya, saya takkan halau walau sibuk macam mana pun.
"Pegawai-pegawai saya akan sambut sesiapa pun yang datang," katanya ketika ditemui pada sesi Wacana Minda di Shah Alam hari ini.
Maszlee berkata demikian sebagai mengulas tindakan sekumpulan guru yang menunjuk perasaan bagi mendesak pengetua mereka ditukarkan.
Kejadian itu berlaku di Kota Bharu, Kelantan.
Ia dianggap menarik kerana biasanya golongan guru sangat jarang bertindak secara terbuka jika berdepan dengan sesuatu yang tidak disenangi.
Bukan tanda galak protes
Menurut Maszlee, beliau juga berharap pegawai pendidikan daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan tidak mengambil tindakan ke atas guru-guru terbabit yang menaikkan sepanduk di dalam kawasan sekolah.
"Saya ambil cakna dan ingin dengar apa keluhan guru-guru. Saya berharap PPD dan JPN tidak ambil tindakan.
"Bagaimanapun nasihat ini tidak bermakna saya memberi signal (isyarat) kepada cikgu lain untuk buat demo.
"Mereka takkan tunjuk rasa seperti itu kecuali mereka mungkin dah tak ada cara lain.
"Cikgu mengadakan demo sebab tak puas hati kepada pengetua sekolah dan mereka naik sepanduk tulis Dr Maszlee supaya bantu mereka," katanya.
Bagaimanapunn Maszlee menyarankan agar guru-guru terbabit tidak mengambil tindakan terburu-buru.
"Saya harap lepas ini tak adalah cikgu tak puas hati tunjuk perasaan semua.
"Kalau hadapi masalah dengan pihak atasan, cuba selesaikan masalah macam satu keluarga.
"Kalau tak boleh diatasi di peringkat tinggi, bawalah ke peringkat lebih atas," katanya.
Sementara itu Maszlee juga berkata pengetua terbabit sudah dipindahkan bagi membolehkan siasatan dibuat.
"Ia prosedur biasa dan beliau tak boleh bertugas dalam keadaan ramai yang memprotes," katanya.

