Kayveas: Perkahwinan sejenis tidak salah
Kerajaan tidak boleh mengambil tindakan ke atas perkahwinan sejenis kerana ia tidak salah dari segi undang-undang sivil, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas.
Kerajaan tidak boleh mengambil tindakan ke atas perkahwinan sejenis kerana ia tidak salah dari segi undang-undang sivil, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas.
"Perkahwinan sejenis tidak salah dari segi undang-undang sivil dan biarkanlah jika itu jalan pilihan mereka," katanya di Parlimen hari ini.
Ketika menjawab soalan wakil Seri Gading Datuk Mohd Aziz, Kayveas berkata, hak golongan tersebut perlu dihormati sebagaimana orang lain kerana mereka juga rakyat Malaysia.
Beliau berkata, ini bukan pilihan mereka tetapi Tuhan sudah bagi begitu...oleh itu masyarakat perlu menghormati dan memberi pertolongan sewajarnya kepada golongan ini.
"Mungkin Jabatan Imigresen perlu menyediakan kaunter khas di tempat tertentu untuk kemudahan golongan tersebut," katanya.
Perlukan bukti
Beliau berkata, di beberapa negara perkahwinan sejenis sudah lama berlaku dan masyarakat tidak mengutuk mereka.
"Kes itu tidak melibatkan jenayah, adakah kita boleh memenjarakan mereka," kata Kayveas lagi.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menegaskan kerajaan tidak mengiktiraf hak individu yang menukar jantina termasuk melangsungkan perkahwinan sejenis.
Sementara itu, mengenai kes orang biasa mengaku menjadi raja atau sultan, Kayveas berkata, pihak berkuasa negeri perlu menyiasat kes itu.
"Kita beri peluang kepada orang berkenaan untuk mengemukakan bukti dan jika mereka menipu tindakan boleh diambil," katanya.

