Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy hari ini berikrar akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan ke atasnya berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ikrar itu dibuat selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan ke atas Ramasamy.

Ramasamy bagaimanapun turut menggesa polis menyiasat pihak yang didakwa menyebarkan fitnah ke atasnya.

"Memandangkan ada laporan ke atas saya atas dakwaan penglibatan tertentu, polis boleh menyiasat bagi memastikan sama ada tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab ini.

"Saya akan memberi kerjasama penuh kepada polis," katanya kepada Malaysiakini dan menambah polis telah mengambil keterangannya seminggu lepas.

"Terdapau beberapa laporan ke atas pihak yang menyebarkan fitnah ini, polis juga perlu membuka kertas siasatan ke atas mereka.

"Apapun saya tetap dengan pendirian saya bahawa fitnah dan laporan palsu tentang penglibatan saya untuk mengenepikan isu ekstradisi Zakir Naik ke India," katanya.

Mohamad Fuzi sebelum ini dipetik The Star sebagai berkata kes Ramasamy sudah bertukar menjadi "case of interest" terutamanya selepas 53 laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

"Kita sedang menyiasat. Sisatan pada mulanya ditangani oleh polis Pulau Pinang namun sudah diambil alih oleh Bukit Aman," katanya.

Gambar yang memaparkan Ramasamy dan ahli politik pro-LTTE V Gopalasamy yang dikatakan diambil dalam majlis perkahwinan baru-baru ini tular di media sosial dan menimbulkan dakwaan ahli politik DAP itu mempunyai hubungan dengan kumpulan di Sri Lanka yang dianggap sebagai pengganas oleh beberapa negara.

Ramasamy mendakwa beliau menjadi sasaran oleh pro-Zakir selepas menggesa agar penceramah kontroversi itu dihantar pulang ke India bagi berdepan dakwaan pengubahan wang haram serta mencetuskan ketidakharmonian.

Zakir yang kini mempunyai status penduduk tetap di Malaysia menafikan semua dakwaan itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan pihaknya tidak akan tunduk pada gesaan kerajaan India untuk menghantar Zakir ke negara asalnya kerana dia tidak terlibat dengan jenayah di negara ini.

[Baca berita penuh]