Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menggesa pihak berkuasa menyiasat laporan berhubung dakwaan bahawa bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri telah menulis surat kepada Pengarah CIA, Gina Haspel.

PATRIOT yang merupakan persatuan veteran tentera bersara turut berpandangan bahawa surat itu bersifat "menghasut" dan "pengkhianatan".

"Kami memohon agar pihak berkuasa melancarkan siasatan segera ke atas apa yang disebut unit risikan dan pegawai yang terlibat.

"Semua individu yang bersalah perlu diberi hukuman tegas agar menjadi teladan kepada pegawai kerajaan, pegawai keselamatan negara dan anggota politik bahawa tindakan seperti itu yang melibatkan pegawai kerajaan negara lain dianggap pengkhianatan," kata Presiden PATRIOT Datuk Mohamad Arshad Raji dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan surat itu dihantar kepada Pengarah CIA lima hari sebelum lima hari sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Surat berkenaan menggambarkan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin progresif yang menyokong AS, manakala Dr Mahathir Mohamad digambarkan sebagai "anti-Barat".

Najib bagaimanapun menafikan mengetahui kewujudan surat berkenaan dengan berkata: Saya terkejut. Saya tidak tahu pun kewujudan surat itu. Tidak semua surat perlu melalui saya."

Menurut Mohamed Arshad, surat berkenaan menunjukkan kerajaan di bawah pentadbiran Najib sebelum ini cuba mendapatkan sokongan AS dan China apabila dilihat menyokong penguasaan China di Laut China Selatan dan dalam masa yang sama memberitahu AS bahawa Malaysia menyokong kehadiran AS di rantau ini.

"Mengkritik seteru politik sebagai anti-Barat, anti-Yahudi dan autokratik untuk mendapatkan sokongan adalah tindakan yang keji, memalukan dan menghina seni perhubungan luar.

"Hanya pemimpin dan kerajaan yang tidak mempunyai sebarang kualiti kepimpinan dan pentadbiran yang baik yang akan melakukan perkara seperti itu," katanya.

Mohamed Arshad juga menggesa agar kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN menyiasat dakwaan penglibatan Cambridge Analytica (CA) dalam pilihan raya sebelum ini.

CA mendapat perhatian antarabangsa selepas ia dilapor menyalahgunakan maklumat peribadi pengguna di Facebook untuk tujuan politik.

Firma berkenaan juga didakwa menggunakan taktik memerangkap seteru politik termasuk menghantar pegawai operasi untuk merasuah.

[Baca berita asal]