Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lindungi kanak-kanak, kata khutbah
Diterbitkan:  Jul 20, 2018 2:42 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan semua pihak memastikan kanak-kanak sentiasa terjaga dan dilindungi.

Menurut mimbar, kanak-kanak juga mempunyai hak yang sama dengan golongan dewasa yang perlu dihormati seperti hak kerahsiaan peribadi, tidak dimalukan di khalayak serta tidak didera secara fizikal, mental dan emosi.

"Umat Islam harus mengambil iktibar dan contoh teladan daripada junjungan besar Nabi Muhammad yang sangat menyantuni kanak-kanak," kata teks khutbah Jumaat yang bertajuk Peliharalah Hak Asasi Kanak-kanak.

Mimbar menyebut tentang perkembangan terbaru yang melibatkan kes penderaan bayi dan kanak-kanak sehingga membawa kepada kematian.

Khutbah tidak menyebut mana-mana kes secara khusus. Ia bagaimanapun dikeluarkan selepas kisah tragis melibatkan adik Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif yang mayatnya ditemui dalam peti ais.

Pengasuh kepada bayi lima bulan itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menganiaya bayi berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan di kepala serta melupuskan mayat dengan menyembunyikan kematian.

Katanya, Islam menggariskan cara hidup yang sempurna dalam menyantuni kanak-kanak serta melarang keras seseorang mencederakan orang lain tanpa sebarang alasan.

Memetik hadis, mimbar berkata kanak-kanak diibaratkan seperti sehelai kain putih dan adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk mencorakkannya.

Lihat Komen
ADS