BN dilapor memilih seorang anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan, calon terbabit dipilih selepas perbincangan kepimpinan tertinggi Umno.

"Kita akur dengan keputusan yang diputuskan parti.

"Bagaimanapun, tunggu pengumuman petang ini yang dibuat Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hassan," sumber itu dilaporkan sebagai berkata ketika dihubungi.

Umno bahagian Kota Raja dilaporkan meminta pucuk pimpinan parti memilih calon tempatan bagi melawan calon PKR Zawawi Mughni.

PRK Sungai Kandis diadakan susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada pilihan raya umum lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).