Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata kerajaan Pulau Pinang berjaya menunaikan janji Manifesto Pakatan Harapan untuk bahagian perumahan dalam tempoh lebih dua bulan.

Beliau berkata hingga kini kerajaan negeri telah menyediakan sebanyak 80,604 unit perumahan kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik, yang mana 28,442 unit rumah sudah disiapkan dan beberapa projek kini masih berjalan.

"Setakat ini, sebanyak 22,065 unit perumahan kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik sedang dibina di negeri ini manakala 30,097 unit rumah lagi telah mendapat kelulusan," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk portfolio Perumahan di George Town hari ini.

Katanya angka rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri telah melebihi janji Manifesto untuk Pilihan Raya Umum (PRU14) iaitu sebanyak 75,361 unit untuk kategori berkenaan.

Selain itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu berkata kerajaan negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 peratus Pulau Pinang (TPM80PP) telah meluluskan RM23 juta sejak 2013 hingga Julai tahun ini, selari dengan janji Manifesto PRU14 untuk membaik pulih, mengganti dan menyelenggara lif, tangki air serta bumbung menerusi skim perumahan swasta.

Jagdeep Singh berkata sementara itu, Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysian (TP1M) yang dilancarkan tiga tahun lepas tetap diuruskan kerajaan persekutuan, namun akan melalui penjenamaan semula menerusi kerajaan persekutuan baharu.

Beliau berkata janji Manifesto PRU14 bagi membina projek perumahan awam untuk disewa telah ditunai selepas dua projek skim sewa beli di Mak Mandin dan Kampung Tok Suboh Seberang Perai diluluskan dan sedang dalam pembinaan.

"Kedua-dua projek itu akan menyedia 301 unit rumah kos rendah, yang mana pembeli perlu menyewa unit berkenaan sebelum dibenarkan memilikinya," katanya.

- Bernama