NGO Yayasan Patriot Negara (YPN) menyumbangkan sebanyak RM650,000 kepada Tabung Harapan Malaysia bagi membantu membiayai hutang negara.

NGO itu berkata jumlah itu dikumpulkan melalui pelbagai aktiviti termasuk penjualan nombor plat kenderaan "Patriot".

Ketua pegawai eksekutif YPN, Muhammad Zharif Johor berkata, kutipan untuk Tabung Harapan itu melebihi sasaran awal.

"Pada mulanya, kami menyasarkan RM250,000 yang mana kami telah menyumbangkan RM50,000 pada 1 Jun.

"Jumlah terkumpul RM650,000 setakat ini melebihi sasaran kami dan kami percaya ia merupakan sumbangan tertinggi kepada tabung itu oleh NGO," katanya.

Muhammad Zharif bercakap demikian selepas menyerahkan cek replika kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya hari ini.

Sehingga Rabu, tabung yang ditubuhkan untuk membantu mengurangkan hutang kerajaan telah mencecah RM153.93 juta.