Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melaka Gateway: Pemaju telah salur pampasan lebih RM3 juta
Diterbitkan:  Jul 20, 2018 6:01 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Syarikat pemaju Melaka Gateway, KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) hari ini menjelaskan pihaknya telah menyalurkan pampasan RM3.09 juta kepada kerajaan negeri Melaka pada tahun 2014 setelah mengambil kira implikasi projek yang dihadapi golongan nelayan terjejas.

Pengarahnya Datuk M. Yahya A. Hamid berkata pampasan itu disalurkan kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), justeru syarikat itu menolak dakwaan bahawa pihaknya tidak memberi pampasan kepada nelayan Kampung Portugis yang terjejas akibat kerja-kerja penambakan projek itu.

"Jumlah berkenaan ditetapkan kerajaan negeri (dahulu) berdasarkan kaedah kiraan harga mengikut keluasan tanah, dan mereka akan mengenal pasti bilangan nelayan terjejas di samping turut menyalurkan sebanyak RM588,000 kepada tabung nelayan bagi tujuan kebajikan nelayan.

"Selain itu, kita juga mengambil inisiatif dengan mengadakan pelbagai program CSR (tanggungjawab sosial korporat) bersama nelayan dan masyarakat setempat termasuk membaiki jaring rosak sekali gus membina hubungan baik dengan golongan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Melaka hari ini.

M. Yahya berkata projek pembangunan kawasan itu kelak akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor ekonomi masyarakat setempat di samping menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan di negeri ini.

"Secara tidak langsung, ia bakal mewujudkan lebih 45,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun yang kita jangkakan mampu menjana RM1.188 trillion untuk syarikat tempatan setelah projek ini siap sepenuhnya.

“Kita juga sedang berbincang dengan pelabur tempatan dan antarabangsa bagi membawa masuk lebih banyak Pelaburan Langsung Asing, namun dalam masa sama kita akan sentiasa menyokong masyarakat di Kampung Portugis dan masyarakat negeri Melaka secara amnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Nelayan (JPN) Kampung Portugis dan Parit Cina, Joseph Periera turut menafikan dakwaan bahawa nelayan berdaftar kawasan terbabit tidak menerima sebarang pampasan berhubung kerja-kerja penambakan projek itu.

"Mereka telah menerima pampasan berjumlah RM443,200 pada Oktober 2012 melibatkan 171 nelayan, dan RM670,400 lagi pada Februari 2013 melibatkan 239 nelayan.

"Kita juga ingin menegaskan bahawa 92 nelayan di bawah kendalian kami tidak terlibat sama sekali dalam perhimpunan secara aman Selasa lepas kerana sentiasa berbincang dengan pihak pemaju. Malah ada bayaran one-off RM3,200 dibuat kira-kira 300 orang yang menerima manfaat tersebut," katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap agar dapat menjalin kerjasama berterusan dengan pihak pemaju melalui rundingan berbanding melakukan provokasi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS