Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek Melaka Gateway tak akan jejas Kpg Portugis - KM
Diterbitkan:  Jul 20, 2018 6:20 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Projek Melaka Gateway bernilai RM43 bilion yang dibangunkan syarikat swasta di perairan Selat Melaka berhampiran Kampung Portugis tidak akan menyebabkan perkampungan berkenaan terhapus atau dipindahkan dari kawasan itu.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata berdasarkan pelan asal pembangunan projek berkenaan ia tidak mengganggu atau memusnahkan perkampungan berkenaan yang merupakan salah satu warisan yang perlu dipelihara untuk kesinambungan generasi minoriti itu di negeri tersebut.

"Tidak timbul soal Kampung Portugis di situ kekal atau tidak kerana projek berkenaan hanya melibatkan tambakan laut dan tidak mengganggu kehidupan penduduk malah ia akan memberi kesan ekonomi yang baik kepada mereka pada masa hadapan.

"Sebaliknya ia melibatkan isu berbeza iaitu bantahan nelayan di kampung berkenaan terhadap kesan pembangunan projek itu yang mengganggu sosio ekonomi mereka ," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan pampasan pekerja Ladang Lendu, di Seri Bendahara hari ini.

Menurut Adly, tidak dinafikan pembangunan projek itu boleh menjejaskan pendapatan penduduk kampung berkenaan yang bergantung pada hasil tangkapan laut, namun, katanya, ia boleh diselesaikan sekiranya pemaju mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan pihak berwajib.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Muhammad Jailani Khamis dan Anggota Dewan Undangan Negeri Banda Hilir Tey Kok Kiew akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju Melaka Gateway untuk menyelesaikan isu berbangkit yang menjejaskan sosi ekonomi penduduk kampung berkenaan.

Dalam pada itu, Adly berkata pihak pemaju juga perlu melibatkan penduduk Kampung Portugis itu dalam pembangunan projek berkenaan secara langsung atau tidak langsung agar ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Projek Melaka Gateway ini harus diteruskan kerana secara dasarnya ia memberi kesan positif pada pembangunan ekonomi dan sosial negeri bagi jangka masa panjang dan manfaat berkenaan turut akan dapat dirasai penduduk Kampung Portugis.

"Jadi kita harapkan pemaju dapat fokus dengan projek berkenaan terutama pembangunaan Pulau 1 yang meliputi terminal kapal layar serta beberapa projek lain dan pada masa sama dapat menyelesaikan isu yang berbangkit," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS