Kementerian Kewangan mahu barangan berharga tinggi dan mewah seperti kapal angkasa, kapal terbang dan kereta salji menjadi antara barangan yang dikenakan cukai di bawah skim cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan semula pada September ini.

Dalam satu kenyataan, menterinya, Lim Guan Eng merujuk barangan berkenaan sebagai ‘big-ticket items’ telah dimasukkan dalam senarai barangan yang dikecualikan cukai dalam senarai yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam semalam.

Beliau berkata senarai itu masih dalam peringkat cadangan dan maklumbalas orang ramai diperlukan untuk akhirnya menentukan barangan mana yang akan dimasukkan, atau dikeluarkan dari senarai.

"Antara barangan yang disenaraikan untuk dikecualikan (SST) adalah barangan besar seperti kapal terbang, kapal mewah, feri penumpang, helikopter, kapal angkasa dan peralatan ski.

“Sungguhpun senarai yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam hanyalah cadangan, namun Kementerian Kewangan berpandangan bahawa adalah perlu barangan mahal dan mewah yakni ‘big-ticket items’ haruslah dikenakan SST,” kata Lim.

Semalam Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk Seri T Subromaniam dalam satu sidang akhbar berkata, setakat ini jabatan hanya memuat naik senarai barangan berkadar sifar peratus di dalam portal rasmi jabatan berkenaan.

Senarai barangan berkadar lima dan 10 peratus akan ditentukan minggu hadapan.

[Baca berita penuh]