Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Meletakkan calon di kerusi yang memberikan majoriti besar buat Pakatan Harapan (HARAPAN), BN bersikap sederhana mendepani pilihan raya kecil Sungai Kandis.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan malah memberitahu beliau tidak meletakkan sebarang sasaran dalam penyertaan mereka untuk pilihan raya kecil berkenaan.

"Saya tak ada sasaran. Ini semua ketentuan Allah Taala.

"Memang kalah belum tentu sebab kita nak mengukur (penerimaan rakyat)," katanya pada sidang media sempena pengumuman calon BN di Shah Alam hari ini.

Pilihan raya kecil Sungai Kandis diadakan ekoran penyandangnya Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu.

Pada PRU ke-14 Shuhaimi mempertahankan kerusi berkenaan dengan kelebihan 12,480 undi. Beliau memperoleh 23,998 undi berbanding pencabar terdekat Kamaruzzaman Johari (BN) yang mendapat hanya 11,518 undi.

Turut bertanding di situ ialah Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Hanafiah Husin (PSM).

Hari ini BN mengumumkan bekas panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang baru terpilih menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon mereka.

Menurut Mohamad, pilihan raya kecil itu menjadi tempat yang baik untuk BN menilai sejauh mana mereka masih diterima selepas ditolak majoriti pengundi pada 9 Mei lalu.

Ditanya mengenai kesukaran dihadapi Umno untuk menghadapi HARAPAN kerana akaun mereka dibekukan, Mohamad bersikap sangat positif.

"Tak sukar sebab kita berkempen pakai mulut, bukan duit," kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Kata Mohamad jentera BN akan berkempen dari rumah ke rumah untuk bertemu pengundi dan ia tidak memerlukan perbelanjaan yang besar.

Lihat Komen
ADS