Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokman: Kem Azmin akan bantu kemenangan BN di Sg Kandis

Calon BN di Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa mereka yang menjadi penyokong Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan membantu kemenangan pembangkang dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

Lokman mendakwa penyokong daripada kem Azmin tidak berpuas hati apabila Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menamakan Zawawi Mughni sebagai calon.

"YB Azmin dan rakan-rakan beliau kecewa Wan Azizah umum calon ustaz Zawawi.

"Kita dapat hint dari teman-teman lama yang akan bantu, teman-teman dari PAS dan sebagainya. Kita nampak satu indikasi yang positif," kata Lokman pada sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

Lokman merupakan pemimpin PKR sebelum dipecat daripada parti itu pada tahun 2004.

Terdahulu dilaporkan bahawa PKR Selangor mahu meletakkan Mohd Razlan Jalaluddin sebelum Wan Azizah menamakan Zawawi sebagai calon di Sungai Kandis.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebelum ini berkata beliau tidak mencadangkan sebarang nama dan keputusan dibuat Wan Azizah adalah muktamad.

Sementara itu, Zawawi menafikan dirinya telah melobi untuk menjadi calon dan menyatakan mereka yang tidak terpilih juga menyatakan sokongan terhadapnya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan ini akibat kanser.

Semasa sidang akhbar itu, Lokman berkata Shuhaimi merupakan rakannya ketika dalam PKR dan turut membacakan surah al-Fatihah kepada allahyarham.

Pilihan raya kecil Sungai Kandis akan diadakan pada 4 Ogos, manakala penamaan calon akan diadakan esok.

Lihat Komen
ADS