Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis hadir di kediaman peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk merekodkan kenyataan daripada salah seorang pembantu rumahnya di Jalan Duta pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa, berkata pembantu itu merupakan saksi dalam satu laporan polis yang telah dibuat.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lebih lanjut.

Sumber kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa laporan itu adalah salah satu daripada banyak laporan polis dibuat Najib sejak beberapa buah kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu diserbu.

Beliau berkata pegawai polis yang merekodkan kenyataan pembantu rumah itu adalah dari ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Kehadiran kenderaan polis di kediaman Najib turut menyebabkan beberapa kakitangan media berkumpul di lokasi berkenaan.

Bulan lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata wang tunai dan barangan yang dirampas daripada enam kediaman yang dikaitkan dengan Najib berjumlah antara RM900 juta dan RM1.1 bilion.

Beliau berkata pihak polis mengambil masa dari 21 Mei hingga 25 Jun untuk menentukan jumlah wang tunai dan nilai barangan yang dirampas.

Menurut Amar, lebih 12,000 unit barangan kemas - terdiri daripada 2,200 unit cincin, 1,400 unit kalung, 2,100 unit gelang, 2,800 unit anting anting, 1,600 unit kerongsang dan 14 unit tiara dirampas.

Umno mendakwa wang itu kepunyaaan parti berkenaan dan ia dalam proses untuk dipindahkan kepada kepimpinan baru selepas Najib meletakkan jawatan sebagai presiden Umno.

Bekas perdana menteri itu juga mendakwa kebanyakan barangan yang dirampas merupakan hadiah yang diterimanya.

Lihat Komen
ADS