Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lebih 5,000 penyokong rai kejayaan JDT
Diterbitkan:  Jul 21, 2018 6:41 AM
Dikemaskini: 10:48 PM


SUKAN-BOLA SEPAK (JDT)(BERGAMBAR)
LEBIH 5,000 PENYOKONG RAI KEJAYAAN JDT RANGKUL KEJUARAAN LIGA SUPER
JOHOR BAHRU, 20 Julai (Bernama) –

 

Kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Liga Super buat lima musim berturut-turut, disambut meriah oleh lebih 5,000 penyokong yang membanjiri Dataran Bandaraya di Johor Bahru tengah malam tadi.

Penyokong bersorak ketika pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, serta barisan pemain, pegawai dan jurulatih skuad Harimau Selatan itu tiba di dataran berkenaan bersama trofi Liga Super, dengan menaiki bas khas tanpa bumbung, kira-kira 12.20 tengah malam.

Berangkat sama ke majlis sambutan itu, Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Sambutan di dataran itu diadakan selepas tamat aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi, yang menyaksikan JDT menang 4-0 ke atas Kelantan serta majlis penyampaian trofi di stadium berkenaan.

Terdahulu, sambutan di Dataran Bandaraya itu dimeriahkan dengan karnival mini yang bermula seawal 2 petang semalam, merangkumi persembahan artis dan kebudayaan Bangsa Johor, gerai jualan barangan rasmi JDT, trak makanan, bermain futsal bersama pemain JDT II serta cabutan bertuah.

Penonton turut menyaksikan perlawanan JDT menentang Kelantan menerusi dua skrin gergasi di dataran berkenaan.

Acara kemuncak sambutan tersebut diserikan dengan pertunjukan bunga api.

Skuad bimbingan Raul Longhi itu mengesahkan kejuaraan Liga Super 2018 selepas menewaskan Perak 2-1 di tempat lawan pada 10 Julai lepas, ketika saingan liga masih berbaki empat perlawanan.

JDT merupakan pasukan pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia berjaya menggondol Piala Liga Super buat lima tahun berturut-turut sejak 2014.

Selaku juara Liga Super musim ini, JDT layak beraksi di peringkat kumpulan saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan buat kali pertama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS