Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PDRM buka bilik gerakan khas tangani kegiatan perjudian
Diterbitkan:  Jul 21, 2018 9:08 AM
Dikemaskini: 1:11 AM

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya memandang berat kenyataan pelbagai pihak yang mempertikaikan kesungguhan dan keberkesanan tindakan pasukan keselamatan itu dalam menangani aktiviti perjudian.

Beliau mengakui dengan perkembangan teknologi semasa, pihaknya kini berdepan pelbagai cabaran dalam memerangi aktiviti perjudian terutamanya kegiatan judi dalam talian kerana melibatkan server di luar negara dan pengguna aplikasi telefon bimbit yang menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Bagaimanapun, pelbagai usaha yang diambil pihak polis dalam membanteras perjudian menunjukkan hasil. Ini termasuk usaha membanteras perjudian komputer di mana 2,158 serbuan dijalankan dari Januari hingga Jun lepas yang membawa kepada penahanan 6,168 orang dan rampasan 16,345 mesin judi.

“Bagi perjudian bentuk lain pula, 8,118 serbuan dijalankan dalam tempoh yang sama dengan menahan 14,780 individu selain merampas 16,275 mesin judi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata bagi tempoh Januari hingga 20 Julai lalu, pihaknya menahan 32 individu di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA) berkaitan kesalahan judi dalam talian, judi loteri haram, judi bookie dan judi bebas atau dalam bangunan.

“Ini menunjukkan pengurangan berbanding tahun lepas apabila 34 individu telah dikenakan tindakan di bawah POCA,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya juga mengambil langkah tambahan dengan menyediakan bilik gerakan bagi memudahkan orang awam membuat laporan.

“Kesemua kontinjen di setiap negeri telah membuka bilik gerakan khas bagi memudahkan laporan dilakukan berhubung kegiatan judi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan judi di kawasan mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Perlis di talian 04-9082 273; Kedah 04-7741 379; Pulau Pinang 04-2221 722; Perak 05-2451 222; Selangor 03-5514 5168; Negeri Sembilan 06-7682 340; Melaka 06-2854 222; Johor 07-2254 422; Kelantan 09-7455 636; Terengganu 09-6354 814; Pahang 09-5052 269; Sabah 088-4548 51; Sarawak 082-2742 13; Kuala Lumpur 03-2146 0670 dan Bukit Aman 03-2266 6261.

- Bernama

Lihat Komen
ADS