Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Calon Bebas dijangka sertai PRK Sg Kandis
Diterbitkan:  Jul 21, 2018 9:13 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bermula pada 9 pagi ini di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19 di sini.

Tempoh masa bagi mengemukakan kertas penamaan calon dijadual selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada PRK ini.

Pada Khamis, PKR mengumumkan pengetua Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang juga setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Pusat sebagai calon.

BN pula mempertaruhkan anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Datuk Seri Dr Wan Azizah, antara pemimpin utama Pakatan Harapan yang berada di Dewan Besar Tanjung, MBSA untuk proses penamaan calon PRK Sg Kandis

Manakala Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi dari PKR dan BN, Lokman Noor Adam dari Umno menyerahkan borang pencalonan masing-masing sejurus pusat penamaan calon PRK Sg Kandis dibuka 9 pagi

Dalam pada itu, PRK tersebut dijangka menyaksikan penyertaan seorang calon Bebas selepas sumber daripada Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor mengesahkan bahawa individu lelaki berkenaan telah membayar wang deposit.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lepas, Mat Shuhaimi yang mewakili PKR, mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi apabila menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76). Beliau menang dengan majoriti 12,480 undi.

Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar terdiri daripada 51,217 pengundi biasa dan 13 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari pengundian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS