Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
379 kes penipuan komersil direkod hingga Jun
Diterbitkan:  Jul 21, 2018 10:28 AM
Dikemaskini: 2:33 AM

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang merekodkan 379 kes penipuan melibatkan kerugian berjumlah RM5.847 juta sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Ketuanya Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata sindiket Macau Scam yang melibatkan mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diarahkan mencatatkan kerugian paling tinggi iaitu RM3.021 juta dengan 71 kes.

Ini diikuti kes menawarkan pinjaman wang tidak wujud iaitu sebanyak 150 kes dengan kerugian RM1.134 juta, African Scam (55 kes, RM961,414) dan penipuan dalam talian (103 kes, RM731,466).

"Mangsa dalam kes Macau Scam akan mengikut arahan memindahkan wang kerana bimbang dikenakan tindakan memandangkan suspek menyamar sebagai pegawai penguat kuasa seperti polis, pegawai kastam atau daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mereka yang menerima panggilan seumpamanya diminta untuk tidak panik dan membuat pemeriksaan di balai berhampiran," katanya ketika ditemui di Kuantan kelmarin.

Mohd Wazir berkata bagi kes African Scam, ia melibat kes kononnya terdapat bungkusan hadiah sebagai tanda perkenalan atau hari jadi yang dihantar kepada mangsa.

Katanya suspek akan menyakinkan mangsa untuk membayar wang yang didakwa sebagai bayaran pelbagai urusan termasuk urusan pentadbiran sebelum boleh menuntut 'bungkusan hadiah' tersebut.

"Suspek selalunya menyasarkan wanita berusia, ibu tunggal atau yang hidup keseorangan dan akan mengambil kesempatan daripada sikap simpati mangsa," katanya.

Beliau berkata lazimnya mangsa akan diminta membuat pembayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 dan hanya menyedari ditipu selepas suspek menghilangkan diri selain tidak menerima hadiah yang dijanjikan.

Katanya untuk tempoh sama, pihaknya telah menahan 131 suspek berkaitan jenayah komersial dengan tangkapan paling banyak melibatkan kes penipuan dalam talian iaitu 70 orang.

Manakala bagi tujuan pendakwaan, Mohd Wazir berkata sebanyak 55 pertuduhan telah dilakukan di mahkamah seluruh negeri bagi kes berkaitan penipuan dalam talian, Afican Scam (18 pertuduhan) dan Macau Scam (empat pertuduhan).

"Masih ramai yang menjadi mangsa penipuan walaupun kes ini sering disiarkan media. Ini menunjukkan rakyat mudah percaya atau mengambil mudah dalam banyak perkara.

"Mereka seharusnya sedar bahawa tawaran hadiah atau pengumuman kemenangan mahupun tawaran menerusi panggilan telefon hanya bersifat indah khabar daripada rupa," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS