Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Royalti berbeza, Sarawak mahu penjelasan lanjut - KM
Diterbitkan:  Jul 21, 2018 11:41 AM
Dikemaskini: 6:52 AM

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pemberian royalti petroleum berdasarkan pengeluaran dengan keuntungan adalah dua perkara berbeza dan sehubungan itu, kerajaan Sarawak mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada kerajaan persekutuan.

"Kita akan mendapatkan penjelasan kerana keuntungan dengan royalti tidak sama," katanya ringkas kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) ke-51 di Kuching pagi ini.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum akan dibuat berdasarkan jumlah keuntungan diperolehi daripada negeri berkenaan.

Dalam persidangan Dewan Rakyat pada Khamis, Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan komited merealisasikan janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 termasuk pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini.

Sementara itu, kerajaan negeri Terengganu akan mengkaji keputusan kerajaan persekutuan memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum berdasarkan keuntungan diperoleh daripada negeri terlibat, dengan lebih mendalam.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada dasarnya Terengganu hanya akan bersetuju jika pemberian royalti itu memberi keuntungan kepada kerajaan negeri bagi memastikan dana yang diperoleh dapat digunakan bagi pembangunan negeri dan menjaga kepentingan rakyat.

"Bagaimanapun jika perdana menteri umum untuk beri royalti 20 peratus berdasarkan keuntungan syarikat pengeluar minyak mengikut negeri, agihan hasil boleh jadi kurang atau lebih daripada yang kita kira sebelum ini.

"Oleh itu, sebelum membuat sebarang keputusan, kita akan tengok dengan lebih jelas lagi mana yang akan mendatangkan keuntungan kepada Terengganu," katanya ketika ditemui selepas majlis kutipan dana pendidikan di Rusila kelmarin.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas mengenai pemberian royalti berdasarkan jumlah keuntungan yang diperoleh negeri-negeri berkenaan.

Pada persidangan Dewan Rakyat 19 Julai lepas, Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan komited merealisasikan janjinya yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14, termasuk pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS