Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zawawi calon tepat wakili PKR, HARAPAN - Wan Azizah
Diterbitkan:  Jul 21, 2018 1:55 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata PKR telah memilih calon yang sememangnya layak untuk mewakili Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Presiden PKR itu berkata ini berikutan calon yang dipertaruhkan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni adalah seorang yang bertanggungjawab, selain mudah diterima sebagai seorang pemimpin oleh penduduk di DUN berkenaan.

"Alhamdulillah, kita memilih calon yang tepat dan saya harap rakyat juga boleh buat pilihan tepat dengan memilih calon parti ini," katanya ketika ditemui selepas hadir memberi sokongandi sini hari ini.

Dalam pertandingan tiga penjuru, Mohd Zawawi yang juga pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun, ditentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam dan pesara kerajaan K. Murthy selaku calon Bebas.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yakin PKR akan mengekalkan kerusi DUN Sungai Kandis dengan majoriti lebih besar berikutan sokongan rakyat yang dilihat tetap utuh berpihak kepada parti tersebut.

"Saya lihat sentimen rakyat (Selangor) sememangnya lebih kepada parti kita dan kita positif dengan penerimaan ini. Ini PRK kita (HARAPAN) yang pertama sebagai kerajaan di Malaysia dan saya pasti kita boleh mengekalkan kemenangan kerusi itu," katanya.

Pengarah PRK Sungai Kandis bagi PKR dan HARAAPAN itu, bagaimanapun mengingatkan jentera parti supaya tidak leka dengan kemenangan yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh majoriti 12,480 undi apabila menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari, calon PAS Mohd Yusof Abdullah dan calon Parti Rakyat Malaysia Hanafiah Husin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS