Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR jangka 80% keluar mengundi, keputusan 10 malam
Diterbitkan:  Jul 21, 2018 2:01 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini sebanyak 80 peratus.

Timbalan Pengerusinya Tan Sri Othman Mahmood berkata sebanyak 19 pusat pengundian dengan 109 saluran mengundi akan dibuka pada PRK berkenaan melibatkan 18 buah sekolah dan satu dewan orang ramai.

"SPR mengharapkan pengundi DUN berkenaan dapat keluar menunaikan hak dan tanggungjawab mereka memandangkan PRK ini kita tambah masa 30 minit waktu mengundi sehingga pukul 5.30 petang berbanding pilihan raya umum sebelum ini.

"Keputusan PRK DUN Sungai Kandis dijangka diumumkan pada pukul 10 malam, 4 Ogos," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK itu di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam hari ini.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PKR, BN dan calon Bebas.

Othman turut menasihatkan pengundi supaya membuat semakan Daftar Pemilih lebih awal untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka bagi mempercepatkan proses pegundian tanpa perlu

Pengundi boleh menyemak maklumat mereka melalui laman web SPR atau menghubungi talian 03-88927018 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor 15888 dan menerusi aplikasi MYSPR SEMAK.

Dalam pada itu, Othman meminta semua pihak termasuk calon, pemimpin dan penyokong supaya mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh SPR dan polis dari semasa ke semasa, bagi melicinkan perjalanan PRK itu.

Berhubung peraturan bahan kempen, beliau berkata calon dibenar mempamer dan mengedar bahan yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti serta gambar pemimpin parti yang diwakilinya dan gambar pemimpin komponen, gabungan atau pakatan.

"Apa-apa bahan kempen seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak serta penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding," katanya.

Othman berkata, jika terdapat bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya, Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) boleh menurunkan bahan berkenaan.

Selain itu, beliau berkata setiap ceramah kempen juga harus mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia dan tindakan boleh diambil jika aktiviti ceramah dijalankantanpa permit.

Ditanya tentang anggota Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Kamarudin yang dikatakan menarik diri saat-saat akhir daripada bertanding sebagai calon Bebas, Othman menjawab: "Dia bukan tarik diri, dia tak hantar pun borang."

PRK itu yang pertama diadakan selepas PRU14, menyaksikan pertembungan tiga calon iaitu daripada PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang juga pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh; BN yang diwakili anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, seorang pesara kerajaan K. Murthy.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
 

- Bernama

Lihat Komen
ADS