Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN nafi MCA tak ambil bahagian dalam PRK Sg Kandis

Barisan Nasional (BN) hari ini menafikan parti komponennya tidak mengambil bahagian dalam pilihanraya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata parti komponen terlibat dalam PRK berkenaan namun mereka tidak dapat dilihat pada hari ini.

“Ada pemimpin parti komponen (terlibat), tetapi tidak nampak. Presiden MyPPP (Datuk Seri Maglin D’Cruz) dan Pengerusi MIC Selangor pun ada.

“MCA belum lagi melantik Pengerusi MCA negeri yang baharu dan dalam proses penstrukturan semula parti. Setiausaha perhubungannya ada datang (majlis pengumuman calon BN) semalam.

“Jadi, tidak timbul soal BN tidak diwakili oleh parti komponen,” katanya ditemui pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, hari ini.

Beliau mengulas mengapa wakil MCA tidak kelihatan pada hari penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Mohamad berharap pengundi di Kota Raja terutamanya di DUN Sungai Kandis dapat memberi peluang kepada BN pada PRK berkenaan dan pihaknya perlu mengambil peluang itu untuk membawa suara rakyat.

Beliau berkata, pihaknya mahu melihat sejauh mana keluhan masyarakat di media sosial dapat diterjemahkan ke dalam bentuk undi nanti.

“Seperti yang saya katakan semalam semasa memperkenalkan calon BN, kita mahu melihat bagaimana asas kita sama ada bertambah atau sebaliknya. Jika menang… Alhamdulillah.

“Apa yang saya lakukan ialah menamakan seorang calon yang boleh dijadikan sebagai pembawa suara isu rakyat yang didengar oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa pula berkata melalui PRK ini, pihaknya mahu menyampaikan mesej bahawa solidariti perpaduan dan ummah adalah merentasi politik dan parti.

“Kita teroka dalam kalangan orang Melayu dan Islam supaya dapat meningkatkan persefahaman dan kerjasama memperbaharui politik kepartian.

“Jadi, buat pertama kali kita dapat memecahkan benteng yang mana sebelum ini agak mengarut dan kita sudah mencapai satu kejayaan. Kita berunding dan kita bekerjasama secara spesifik,” katanya.

Ditanya sama ada PAS akan membantu Umno pada PRK ini, beliau berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada mereka dan apa yang boleh diperkatakan adalah mereka akan mengekalkan hubungan di peringkat kepimpinan.

“Mungkin tidak akan sepentas sebab mereka adalah blok ketiga dalam sesuatu perkara,” katanya.

Lihat Komen
ADS