Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan unjur sasaran KDNK 2018 cecah 5.5-6.0 peratus
Diterbitkan:  Jul 21, 2018 3:07 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Kerajaan mengunjurkan sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar mencecah 5.5-6.0 peratus tahun ini, selari unjuran oleh Bank Negara Malaysia.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia merupakan ekonomi terbuka dan pelbagai, dan walaupun terdapat kesan akibat perang perdagangan global semasa, ekonomi Malaysia akan berkembang sekurang-kurangnya 5.0 peratus untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

"Pasaran modal Malaysia tumbuh 12.6 peratus kepada RM3.2 trilion tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada Pameran Pelaburan Syariah 2018 di ibunegara hari ini.

Lim berkata permodalan pasaran modal konvensional dan Islam masing-masing meningkat 14.4 peratus dan 11.9 peratus, manakala pengumpulan dana menerusi pasaran ekuiti berkembang kepada RM21.7 bilion pada 2017 berbanding RM12.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata pasaran bon dan sukuk masing-masing meningkat 10.1 peratus kepada RM1.3 trilion.

"Tahun 2018 sukar bagi pasaran ekuiti Asia, namun prestasi pasaran domestik menggalakkan walaupun merosot.

"Walaupun Indeks Komposit Kuala Lumpur susut 1.7 peratus setakat ini tahun ini, data Bloomberg menunjukkan pasaran kita terus berdaya tahan berbanding bursa serantau seperti Singapura, Jakarta, Bangkok, Hong Kong dan Shanghai," kata Lim.

Beliau berkata prestasi kesemua pasaran berkenaan merosot antara 3.8 peratus dan 17.7 peratus, sebahagan besarnya disebabkan oleh perang perdagangan dunia semasa.

Pameran Pelaburan Syariah anjuran Bursa Malaysia Bhd itu bertujuan meningkakan kesedaran orang ramai mengenai pelaburan runcit dalam pasaran saham domestik, terutama aset-aset patuh Syariah.

Pameran itu kali pertama dianjurkan pada November 2017, susulan penubuhan Bursa Malaysia-i, platform pelaburan patuh Syariah menyeluruh pertama dunia yang dilancarkan pada September 2016.

- Bernama

Lihat Komen
ADS