Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Undang-undang penjagaan kanak-kanak perlu diperketat'

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang mengetatkan undang-undang sedia ada berhubung penjagaan kanak-kanak bagi mengelakkan insiden kematian bayi di pusat pengasuh dapat dielakkan.

Menterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata demikian ketika mengulas kematian bayi Naufal Amsyar, 10 bulan, hari ini, selepas dirawat selama empat hari di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, selepas cedera parah di kepala akibat terjatuh di rumah pengasuhnya.

Hasil pemeriksaan awal juga mendapati kesan lebam lama dan baru pada dahi kiri, selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.

"Saya sungguh sedih bila tragedi begini berlaku lagi.

"Bagaimana untuk kita elakkan kes ini daripada berlaku lgi adalah dengan mengetatkan undang-undang dan akta sedia ada," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Ampang, Selangor, hari ini.

Beliau berkata sudah membincangkan hal itu beberapa kali dengan pejabat peguam negara dan mencadangkan beberapa akta yang perlu disemak semula.

"Undang-undang kita ada kelompongan yang perlu diperhatikan dan diisi," katanya yang juga timbalan perdana menteri.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus undang-undang yang perlu disemak semula dan menjelaskan ia perlu dibawa ke pejabat peguam negara dulu sebelum ke parlimen.

Kematian Naufal Amsyar berlaku beberapa minggu selepas kes Adam Rayqal, 5 bulan, menggemparkan negara, apabila mayatnya ditemui dalam peti ais di rumah pengasuhnya di Batu Caves, Kuala Lumpur.

13 Julai lalu, pengasuhnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menganiaya bayi itu sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan melupuskan mayat mangsa dengan menyembunyikan kematiannya.
 

Lihat Komen
ADS