Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Penyokong parti elak khianat, cabut poster, bendera

PRK SG KANDIS | Polis mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis supaya menjaga dan memelihara ketenteraman awam sepanjang 14 hari tempoh berkempen.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata ia termasuklah tidak melakukan provokasi ke atas pihak lawan seperti mengejek dan membaling objek serta tidak membangkitkan isu sensitif seperti isu perkauman dan keagamaan.

“Selain itu, elakkan merosak dan melakukan khianat ke atas harta awam atau pihak lain seperti merosakkan bilik gerakan atau mencabut poster dan bendera parti pihak lawan,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rashid menasihati pihak-pihak yang berkempen supaya mengikuti prosedur yang telah ditetapkan terutama dari segi permit ceramah dan masa.

Beliau turut mengingatkan calon yang bertanding supaya tidak menghantar permohonan permit untuk mengadakan ceramah pada saat-saat akhir.

Maklumat tidak sahih

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mempercayai sumber-sumber maklumat yang tidak sahih sebaliknya merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu untuk mendapatkan fakta daripada sumber yang boleh dipercayai.

“Mereka boleh menghubungi talian Hotline 03-20529999 atau menyalurkan maklumat di Facebook rasmi Polis Selangor di alamat http://www.facebook.com/PolisSelangor,” katanya.

Mengulas mengenai penamaan calon di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di Shah Alam, pada sebelah pagi, Ab Rashid berkata proses itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang menggugat keselamatan.

Kata beliau lagi, pihaknya akan memberi fokus kepada usaha memelihara ketenteraman dan keselamatan awam serta pencegahan jenayah.

”Bagi tujuan tersebut, pihak polis akan menempatkan elemen-elemen penugasan polis seperti balai polis bergerak serta rondaan lebih kerap di tempat-tempat yang strategik bagi tujuan pencegahan jenayah dan melancarkan perjalanan trafik sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.

Kerusi DUN itu kosong susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS