Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRK SG KANDIS |  Putera MIC Selangor akan mendekati anak muda India dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Shashi Muniandy berkata selain itu, pihaknya juga akan membawa pulang pengundi muda pada 4 Ogos ini seperti yang telah diarahkan oleh Barisan Nasional (BN).

“Putera MIC Selangor akan bantu dari segi mendekati anak-anak muda di Sungai Kandis yang mana kami berpendapat persaingan agak sengit.

“Ini kerana saya yakin kedua-dua parti akan berusaha untuk memenangi hati rakyat untuk mengundi parti pilihan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis di Shah Alam, hari ini.

Mengenai kawasan sasaran yang menjadi tumpuan kempen, Shashi yang juga Ketua Putera MIC Kota Raja berkata, semua kawasan pusat daerah mengundi (PDM) akan menjadi tumpuan mereka.

“Sasaran kita adalah mendekati masyarakat India dan menggempur kubu kuat pembangkang di DUN ini,” katanya.

Berhubung pemilihan Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon BN, beliau menyifatkan Lokman sebagai calon yang baik dan mempunyai pengalaman luas dalam dunia politik.

Tiga penjuru

“Maka, saya lihat Lokman ialah calon yang mampu memberi saingan kuat pada masa ini yang mana HARAPAN kini sudah menjadi kerajaan,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Lokman, calon PKR, Zawawi Mughni dan seorang calon bebas, K Murthy.

Ia diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiee meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

DUN Sungai Kandis mempunyai 50,800 pengundi dengan majoritinya ialah pengundi Melayu iaitu sebanyak 71 peratus, 15.62% (India) dan 11.67% Cina.

Lihat Komen
ADS