Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang: 'Surat CIA' punca Najib tak bantah peguam negara AS?
Diterbitkan:  Jul 21, 2018 6:47 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Surat rahsia era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak memohon bantuan daripada CIA pada PRU14 membangkitkan persoalan jika ia punca bekas perdana menteri tidak membantah kenyataan Peguam Negara AS Jeff Session yang secara terbuka mengutuk skandal rasuah 1MDB, soal Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

"(Surat kepada CIA) itu menyorot persoalan kenapa mereka (pentadbiran Najib) tidak membantah atau mengambil tindakan terhadap Peguam Negara AS Jeff Session yang mengutuk skandal rasuah 1MDB pada majlis forum antara bangsa sebagai 'kleptokrasi paling buruk.'

"Bolehkah Najib di parlimen esok menjelaskan kenapa kerajaan (era BN) tidak mempertahankan dirinya... pada Disember 2017, tetapi lima bulan kemudian - lima hari sebelum PRU14 - menghantar surat kepada CIA memohon sokongan untuk tidak menyebelahi Pakatan Harapan jika keputusan pilihan raya menjadi sengit?" Soal bekas ketua pembangkang parlimen itu.

Lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang disebut sebagai unit risikan telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel.

Surat tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memenangi pilihan raya dengan hanya undi secukupnya untuk membentuk kerajaan.

PATRIOT kata pengkhianatan

Bagaimanapun, surat itu meminta AS menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.

Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menggesa pihak berkuasa menyiasat laporan berhubung dakwaan bahawa bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri telah menulis surat kepada Pengarah CIA, Gina Haspel.

PATRIOT yang merupakan persatuan pesara veteran pasukan keselamatan turut berpandangan surat itu bersifat "menghasut" dan berunsur "pengkhianatan".

Surat berkenaan antara lain menggambarkan Najib Razak sebagai pemimpin progresif yang menyokong AS, manakala Dr Mahathir Mohamad digambarkan sebagai "anti-Barat".

Najib bagaimanapun menafikan mengetahui kewujudan surat berkenaan dengan berkata: Saya terkejut. Saya tidak tahu pun kewujudan surat itu. Tidak semua surat perlu melalui saya."

Tak mungkin Hasanah bertindak sendiri

Sementara itu bekas duta besar Malaysia Dennis Ignatius bersetuju dengan pendirian PATRIOT menganggapnya sebagai tindakan pengkhianatan kepada negara.

"Walau apa cara anda melihatnya, menjemput kerajaan asing untuk menyokongnya (Najib) sekiranya berlaku kebuntuan pilihan raya adalah pengkhianatan yang serius.

"Walaupun Najib telah menafikan mengetahui perihal surat itu, tidak mungkin Hasanah, yang dekat dengan Najib, akan bertindak sendiri," katanya.

Dennis yang pernah bertugas di Kanada itu berkata surat tersebut menunjukkan pada hari-hari akhir kempen PRU14, Najib dan pasukannya telah sedar sokongan tidak menyebelahi mereka.

"...Najib dan pasukannya telah membuat kesimpulan sokongan tidak menyebelahi mereka dan mereka perlu meneroka semua pilihan yang ada.

"Dengan semua tuduhan ia merupakan kemerosotan yang jelas buat seorang pemimpin yang sebelum ini menyelar campur tangan AS dan mendakwa dirinya jaguh hebat yang mempertahankan bangsa, agama dan negara," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Lihat Komen
ADS