Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kembali ke Putrajaya, Saifuddin kini nikmati kebebasan sebenar

WAWANCARA | Tidak seperti rakan sejawatnya yang lain dalam kabinet, Menteri Luar Saifuddin Abdullah bukanlah orang asing di pusat pentadbiran negara iaitu Putrajaya.

Namun banyak sudah berubah sejak beliau menjadi timbalan menteri ketika pentadbiran BN. Dan ia bukanlah sekadar perubahan portfolio daripada Kementerian Pengajian Tinggi kepada pejabatnya sekarang di Wisma Putra.

Dalam wawancara rasmi pertama selepas menjadi menteri, Saifuddin berkata perbezaan besar yang dirasainya antara dua fasa itu adalah beliau kini menikmati 'kebebasan' dalam erti kata sebenarnya.

"Ketika saya menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno, kelazimannya adalah untuk patuh pada arahan.

"Saya kini ketua sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN) dan anggota biro politik PKR, tetapi setakat ini tidak pernah diarahkan untuk patuh pada arahan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Putra, Putrajaya.

Namun beliau berkata ia tidak bermakna arahan parti boleh dilanggar sewenang-wenangnya.

"Tetapi tiada gag order, tiada amalan patuh arahan," katanya lagi.

Berbeza dengan pemimpin BN, kata Saifuddin, pemimpin HARAPAN faham bahawa "kebebasan adalah kebebasan" tanpa perlu menekankan ia perlu diamalkan secara bertanggungjawab - kaveat yang biasa diucapkan ketika bercakap tentang kebebasan.

"Kami tahu bagaimana untuk praktikkannya, kerana kami faham erti kebebasan. Kami tahu bagaimana untuk menggunakannya secara optimum.

"Sebab itu sejak dulu saya tak suka dengan idea 'kekebasan dengan tanggungjawab," katanya. "Saya sangat tidak suka ungkapan itu."

Dipanggil mengadap

Anggota parlimen Indera Mahkota itu berkata sesiapa yang menyuarakan "kebebasan dengan tanggungjawab" tidak memahami makna sebenar kebebasan.

"Anda tahu apa yang boleh dibuat, apa yang tak boleh dibuat. Maksud saya, ia bukan sesuatu yang terlalu tinggi untuk difahami," katanya lagi.

Mengimbas kembali, Saifuddin berkata beliau tidak pernah mendapat kebebasan itu ketika berada dalam Umno dan menjadi anggota kabinet bawah pentadbiran Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Pada 2008, Abdullah melantiknya sebagai timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi. Ketika Najib mengambil alih setahun kemudian, beliau ditukarkan ke kementerian pengajian tinggi.

Beliau menceritakan insiden ketika dipanggil ke pejabat menteri pengajian tinggi ketika itu, Datuk Seri Khaled Nordin, susulan kenyataannya berhubung hal ehwal pelajar, di mana beliau menekankan kepentingan pengupayaan mahasiswa.

"Dia (Khaled) kata 'Din, kenyataan anda okey, tapi ada sesetengah yang tak suka.' Saya hanya membalasnya dengan senyuman," katanya sambil ketawa kecil.

Berikutan peristiwa itu, beliau juga berkata dipanggil oleh Najib yang mengingatkannya bahawa beliau hanyalah timbalan menteri.

Katanya lagi, ia turut dibincangkan di kabinet sebelum diingatkan agar 'tidak terlalu menonjolkan diri' sebagai timbalan menteri.

"Tetapi saya tak peduli dan teruskannya," katanya lagi.

Individu, institusi bebas

Ketika itu, Saifuddin dikenali sebagai antara suara progresif dan sederhana dalam Umno, berbanding pemimpin lain.

selain memiliki pandangan yang berbeza dengan parti, Saifuddin juga adakala dikenali sebagai peminat sukan bola keranjang dan ia kekal sehingga kini.

Malah pejabat barunya itu dihiasi bola kerajang bertandatangan yang disimpan dalam bekas kaca, serta jersi pasukan Los Angeles Lakers dengan tandatangan bintangnya Earvin 'Magic' Johnson Jr yang digantung di dinding.

Dua minggu menjadi menteri, Saifuddin mengakui terlalu banyak perkara yang perlu dipelajarinya, bermula dengan hal asas seperti "cara paling diplomatik" untuk menjawab panggilan telefon dan menerima ucapan-ucapan tahniah.

"Saya masih baru dalam kabinet, namun melihat kepada cara kami membawa diri sebagai menteri dan anggota Majlis Presiden HARAPAN, saya fikir kami diberi kebebasan yang tiada pada ketika saya menjadi timbalan menteri dan dalam MT Umno.

"Jadi kini saya rasa lebih bebas," katanya lagi.

Selain di peringkat individu, beliau turut menyatakan institusi seperti Dewan Rakyat semakin bebas bawah pentadbiran HARAPAN.

Dalam sesi Parlimen kali ini, Saifuddin berkata ada kira-kira 90 anggota parlimen baru, termasuk speaker dan timbalan speaker yang juga baru.

"Ia boleh jadi sangat bising. Tapi ini adalah satu transisi. Mereka akan ambil masa untuk sesuaikan diri," katanya yang kembali ke Parlimen selepas tewas pada PRU ke-13 di tangan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

"Saya suka melihat pembangkang kini lebih aktif. Sebagai penyokong kerajaan dulu, mereka tidak begitu aktif seperti sekarang," katanya yang menganggap perkembangan itu adalah langkah positif ke arah penambahbaikan demokrasi di Malaysia.

Lihat Komen
ADS