Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
K'jaan bentuk jawatankuasa kaji reformasi cukai

Kerajaan akan membentuk suatu jawatankuasa bagi mengkaji semula dasar cukainya tidak lama lagi, kata Tony Pua, pegawai khas kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Antara lain, jawatankuasa itu akan menyemak perkara-perkara seperti pelepasan yang ada di bawah skim cukai pendapatan Malaysia; kaedah untuk menjadikan percukaian lebih progresif; dan keperluan untuk mewajibkan semua orang mendaftar sebagai pembayar cukai, tidak kira sama ada mereka perlu membayar cukai atau tidak.

"Jadi, semua ini akan dikaji di bawah jawatankuasa pembaharuan cukai, yang akan ditubuhkan tidak lama lagi," kata anggota parlimen Damansara itu pada suatu majlis forum di Petaling Jaya tadi malam, anjuran DAP Taman Paramount.

Pua mengulas soalan hadirin yang bertanya jika kerajaan memang benar-benar memerlukan dua agensi berasingan untuk memungut cukai. Bagaimanapun, beliau berkata tidak dapat memberikan jawapan secara tuntas mengenai soalan tersebut.

"Ini salah satu isu yang kami kaji. Kami akan membentuk jawatankuasa reformasi cukai. Jawatankuasa reformasi cukai akan menyemak pertanyaan berkenaan, juga lain-lain persoalan yang berbangkit," katanya.

Pada masa ini, kutipan cukai secara langsung seperti cukai pendapatan dan cukai korporat dipungut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) manakala cukai tidak langsung seperti duti, eksais dan sebelum ini Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dipungut oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Mengurangkan 'jurang cukai'

Pua berkata undang-undang cukai pendapatan Malaysia tidak berubah sejak tahun 70-an dan ramai orang tidak "tertangkap" dalam tanggungjawab membayar cukai pendapatan.

Sebaliknya, hanya 15 peratus sahaja yang membayar cukai dan asas percukaian yang sempit ini menjadi salah satu sebab GST dilaksanakan pentadbiran terdahulu, katanya

"Tetapi tanpa GST, ada lebih banyak yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan jurang cukai. Salah satu masalah adalah hanya 15 peratus penduduk sahaja yang membayar cukai, tetapi mengapa hanya 15 peratus? Misalnya, kerana anda tidak pernah keluar dan mengutip dari sepuluh persen tambahan.

"Bagaimana anda melakukannya? Bagaimana anda melaksanakan prosesnya? Adakah anda perlu mewajibkan semua orang mendaftar sebagai pembayar cukai (tanpa mengira) sama ada anda layak membayar cukai atau tidak?" Soal beliau, sambil menjelaskan pihak berkuasa percukaian mempunyai hak untuk mengetahui berapa banyak pendapatan warganya supaya dapat memastikan jumlah cukai yang betul sedang dikenakan.

Dr M amalkan muafakat

Sementara itu, dalam perkembangan yang lain, hadirin turut bertanyakan Pua jika Tun Dr Mahathir Mohamad telah berubah sejak mentadbir kali pertama dari 1981 ke 2003 serta jika Perdana Menteri mengamalkan cara perundingan dalam pembuatan keputusannya.

Menjawab soalan berkenaan, Pua menegaskan Mahathir selalu mengadu idea beliau selalu ditolak.

"Adakah beliau lebih konsultatif? Sekarang, beliau selalu mengadu. Saya tahu ia hal yang sama dalam mesyuarat Pakatan Harapan.

"Kata Dr Mahathir, 'semua orang cakap saya diktator tetapi setiap kali saya mencadangkan sesuatu, keputusan (saya) seringkali ditolak, jadi macam mana saya boleh jadi diktator?'

"Kami selalu dengar aduan itu dalam mesyuarat kabinet atau (pertemuan dengan) kakitangannya.

"Jadi, lebih banyak perundingan. Terdapat beberapa perkara yang beliau tekankan dan beliau perlu berbuat demikian kerana beliau ialah perdana menteri. Beliau memiliki kuasa itu tetapi beliau tidak menggunakannya pada setiap perkara. Selalu terjadi, beliau bertolak ansur memberikan laluan kepada menteri kabinet (untuk membuat keputusan)," katanya.

Tony Pua memberikan contoh pada 17 Mei Dr Mahathir mengumumkan akan mengambil portfolio menteri pendidikan. Bagaimanapun, dalam manifesto PRU14, HARAPAN menghalang perdana menteri berbuat demikian.

Menyedari perkara tersebut, Mahathir pada keesokan harinya berkata akan mengotakan janji dalam manifesto itu dan Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik dilantik menjadi Menteri Pendidikan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS