Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib rai hari lahir ke-65 bersama waris mangsa MH17

Meskipun masih bergelut dengan siasatan ke atasnya berhubung skandal 1MDB, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lupa untuk menyambut hari jadinya yang ke-65, malam tadi.

Ulang tahun itu yang disambut dua hari lebih awal dari tarikh lahir beliau yang sebenar diadakan di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur dan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga serta rakan-rakannya.

Sambutan itu juga adalah sempena memperingati kematian 283 penumpang dan 15 anak kapal yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 17 Julai 2014.

Majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan solat hajat di surau kediamannya di tingkat bawah, disusuli dengan solat Maghrib and Isyak.

Hadirin kemudian diajak naik ke tingkat anjungan tingkat atas untuk menjamu pelbagai juadah, termasuk hidangan laksa Johor dan kuih-muih tradisional  sambil diserikan dengan persembahan ghazal.

Selain itu, majlis juga mempunyai tiga kek dengan salah satunya menyerupai sebuah beg golf dihiasi figura miripnya serta dua pulut kuning.

Majlis itu turut dihadiri oleh ibu Najib, Tun Rahah Mohammad Noh dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib dalam ucapannya menyatakan rasa terharu dengan kesudian tetamu dari seluruh negara yang datang meraikan ulang tahun kelahirannya.

“Saya menghargainya (sambutan ini), untuk meraikan majlis istimewa ini dengan menggunakan perbelanjaan anda sendiri untuk menghadirinya dan turut menyumbang kepada majlis ini.

“Kehadiran anda di majlis ini bukan kerana saya dalam kerajaan tetapi kerana anda masih percaya dan sokong saya,” katanya.

Berkenaan tragedi MH17, Najib berkata beliau telah memainkan peranan sebagai perdana menteri dan berharap kerajaan baru akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab kepada insiden itu.

“Kita berharap kuasa (sedia ada) akan meneruskan langkah ini dan memastikan keadilan dilaksanakan dan lihat ia telah dilakukan,” katanya.

17 Julai lalu merupakan ulang tahun keempat kejadian yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Laporan Reuters pada Mei lalu memetik ketua siasatan jenayah polis Belanda yang mengesahkan MH17 ditembak jatuh pada oleh misil tentera Rusia.

Kementerian pertahanan Rusia bagaimanapun menafikan pihaknya terlibat dalam insiden berkenaan.

Lihat Komen
ADS