Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siaran langsung soal jawab parlimen dedah watak sebenar parti

ULASAN | Pertama sekali saya mengucapkan tahniah kepada RTM kerana membuat siaran langsung sesi soal jawab di parlimen yang tidak dapat saya lakukan semasa saya menjadi menteri penerangan dan juga gagal diteruskan oleh Tan Sri Rais Yatim yang menggantikan saya kemudian walaupun beliau mencubanya.

Terus terang saya nyatakan saya membuat pertimbangan tidak melakukannya kerana ketika itu politik perkauman dan agama menjadi senjata utama parti-parti politik untuk meraih sokongan.

Saya belajar akibat dari siaran langsung Perhimpunan Agung Umno yang menjadi senjata memakan tuan apabila perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Badawi mahu menunjukkan kebebasan dan demokrasi baru di eranya menyebabkan bukan Melayu terkejut dengan apa yang dibincangkan sekian lama secara tertutup dalam perhimpunan Umno.

Apabila Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh mengambil keputusan berani membuat siaran langsung sesi soal jawab yang memberikan gambaran keyakinan kerajaan HARAPAN untuk menghadapi akibatnya.

Siaran ini mendapat sambutan hangat dan popular dalam sekelip mata. Kesannya amat mendalam di kalangan rakyat kerana mereka baru terlepas dari pemerintahan Datuk Seri Najib Razak yang menekan keras kebebasan media yang tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah negara sehingga siaran televisyen dibenci dan akhbar tidak lagi dibaca orang.

Yang jelas dalam masa yang singkat siaran langsung ini menaikkan imej demokrasi kerajaan baru HARAPAN selain memberi kesan negatif kepada pembangkang BN.

Antaranya:

  • BN sebagai sebuah parti yang tidak dapat menerima kekalahan dan lebih mengutamakan permainan politik untuk menutup penyelewengan,rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan mahu menunjukkan kerajaan dahulu lebih baik daripada kerajaan HARAPAN yang baru berusia setahun jagung.
  • Mendedahkan Umno sebagai parti yang perkauman Melayu dan PAS sebagai parti pelampau agama walaupun kedua parti itu tidak bergabung. Impak yang pertama kearah ini ialah apabila Tan Sri Anuar Musa yang merupakan wakil rakyat BN membuat soalan yang disokong oleh seorang wakil PAS dalam menolak persamaan antara bukan Islam yang didakwa telah digambarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dr Mujahid Yusof Rawa.
    Bagaimanapun Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama di JPM Fuziah Salleh telah secara bijak mengekang perbincangan dalam soal hukum agama di dalam sesi soal jawab parlimen sebaliknya menyatakan kesediaan untuk berdialog dan berbincang dengan mereka secara tertutup.
    Ini telah mengelakkan dari berlakunya perbincangan sensitif yang boleh mengapikan perasaan perkauman dan ke Islaman di Parlimen.
  • Walaupun menteri-menteri dan timbalan menteri HARAPAN pertama kali berada dalam sesi soal jawab Parlimen yang biasanya panas dan genting tetapi ternyata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tidak membuat pilihan sebarangan sebaliknya menggambarkan penelitiannya yang terperinci, memilih yang berkualiti dan berkebolehan,cekap dan mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam tugas yang diberikan dari yang termuda hingga kepada yang lain-lain yang belum berpengalaman.Inilah yang kita lihat dalam sesi soal jawab.
    Dalam jawapan kepada soalan tambahan, mereka telah menampakkan keupayaan untuk memberikan fakta dan info terkini yang menunjukkan mereka serius dan cepat mempelajari sesuatu dalam tugas masing-masing walaupun dalam masa yang singkat.
    Mereka telah menampakkan kekuatan untuk tidak mudah dibuli oleh pembangkang yang lebih suka bermain politik dan retorik. Mereka memberikan imej yang tinggi kepada kabinet Dr Mahathir.
  • Mendedahkan penguasaan bahasa Malaysia yang hebat di kalangan ramai pemimpin-pemimpin atau menteri-menteri dari DAP kerana selama ini tidak menonjoll kerana tidak ramai menteri bukan Melayu dalam kerajaan BN. Ini sekali gus memperbaiki imej DAP yang selama ini dianggap sebagai parti cauvanis Cina.
    Selama ini pun tidak disedari ramai bahawa persidangan-persidangan DAP adalah lebih banyak dalam bahasa Melayu dan Inggeris dibandingakan dengan perhimpunan MCA yang menggambarkan imej kecinaan dari ucapan, perbahasan hingga kepada pemidangnya.
    Menerusi siaran langsung sesi soal jawab itu, penggunaan bahasa Malaysia yang lebih luas di kalangan bukan Melayu yang terserlah membangkitkan keyakinan yang tinggi di luar Parlimen apabila terdedah secara meluas di kalangan rakyat berbilang kaum.
    Hal ini menambahkan keyakinan saya bahwa perpaduan kaum di Malaysia lebih berkembang pesat menerusi politik dan bukannya menerusi persekolahan.

Kesan perpaduan poltik melimpahkan keyakinan ke akar umbi dan akan menyebabkan mereka yang percaya kepada pengasingan diri dari sistem pelajaran kebangsaan merasa terhina dan semakin sedar kesilapan mereka yang meletakkan mereka terasing dari aliran perdana yang mempunyai nilai pengiktirafan negara.

Semoga dengan perkembangan ini kita tidaklah lagi akan mengkagumi rakyat Malaysia bukan melayu berkebolehan berbahasa Malaysia dengan baik setelah lebih 50 tahun merdeka kerana parlimen sendiri menggambarkan bahawa ramai anggotanya dari berbilang kaum yang mewakili berbagai bidang profesional telah pun menguasai bahasa Malaysia.

Semua ini tidak disedari selama ini kerana tidak terdedah.

Hidup Malaysia Baru! Siaran langsung sesi soal jawab parlimen telah memberikan kesan positif dan meyakinkan masa depan generasi baru.


TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Tulisan ini asalnya terbit di blog beliau.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS